MAYAT mangsa serangan buaya di Samariang, Kuching ditemui jam 11 pagi, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
MAYAT mangsa serangan buaya di Samariang, Kuching ditemui jam 11 pagi, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
Mohd Roji Kawi


Kuching: Mayat remaja lelaki dilaporkan hilang selepas disambar buaya di sungai di Samariang, di sini, semalam ditemukan hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mayat mangsa Mohd Fakhrul Zaini, 15, ditemui oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya di hilir sungai itu jam 11 pagi.

Menurutnya, mayat ditemui di lokasi kira-kira dua kilometer dari mangsa disambar buaya petang semalam.

"Mayat mangsa dibawa naik dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan pengecaman oleh keluarga mangsa pada 11.10 pagi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang semalam, mangsa yang berasal dari Kampung Moyan Laut, bersama tiga rakannya turun ke sungai untuk melepaskan jala yang tersangkut.

Difahamkan pada mulanya mangsa memancing di tebing sungai manakala rakannya menjala.

Apabila jala tersangkut, mangsa membantu rakannya untuk melepaskan jala itu lalu disambar buaya dan kemudian dibawa ke hulu sungai.

JBPM Sarawak menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 4.27 petang selepas menerima panggilan daripada rakan mangsa.

Sepasukan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP Petra Jaya) dikejarkan ke lokasi di Bandar Baru Samariang sebaik menerima panggilan itu.

Sementara itu, Pengarah JBPM Sarawak, Datuk Khirudin Drahman berkata, ia adalah mangsa ketiga yang disambar buaya di Sarawak tahun ini.

Beliau berkata, dua lagi kejadian sebelum ini berlaku di Oya, Dalat dan Skrang di Betong.

Menurutnya, dalam tempoh 2018 hingga tahun ini, seramai 32 mangsa maut disambar buaya di Sarawak.

Jumlah tertinggi direkodkan pada tahun 2021 apabila seramai sembilan mangsa disambar buaya, diikuti 2020 seramai lapan orang, 2018 (7), 2022 (4), 2023 (3) dan 2019 (1).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2023 @ 6:06 PM