Mayat mangsa serangan buaya ditemui di Sungai Merapok, Lawas, hari ini. FOTO IHSAN JBPM
Mayat mangsa serangan buaya ditemui di Sungai Merapok, Lawas, hari ini. FOTO IHSAN JBPM
Mohd Roji Kawi


Kuching: Pekerja ladang sawit di Kuala Lawas yang hilang disambar buaya di Sungai Merapok, Lawas, semalam ditemui terapung di sungai itu, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mayat mangsa, Juma Misi, 30, ditemukan pada 1.17 tengah hari.

Katanya, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menemui mayat warga Indonesia itu dalam keadaan tidak sempurna, kira-kira tiga kilometer (km) dari lokasi dia dikatakan disambar buaya.

"Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, termasuk dilaporkan kepada Konsulat Indonesia di Kuching," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, mangsa dikatakan sedang memancing di tebing sungai bersama rakannya apabila disambar buaya.

Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas yang dimaklum kejadian pada 8.57 pagi, menggerakkan operasi SAR dan turut dibantu Angkatan Pertahanan Awam (APM), pekerja ladang dan penduduk kampung.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Oktober 2022 @ 5:40 PM