Tembakau yang dirampas dalam pemeriksaan di sebuah premis di Taman Makmur, Lunas. FOTO Ihsan KPDN
Tembakau yang dirampas dalam pemeriksaan di sebuah premis di Taman Makmur, Lunas. FOTO Ihsan KPDN
Zuliaty Zulkiffli


Kulim: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah merampas 597 unit tembakau kunyah yang disyaki tiruan di sebuah premis di Taman Makmur, Lunas, di sini semalam.

Pengarah KPDN Kedah Affendi Rajini Kanth berkata, pemeriksaan dilakukan pada 4.30 petang semalam berhubung penjualan barang tiruan tembakau kunyah menggunakan jenama asli.

Beliau berkata, tindakan dilakukan bersama wakil syarikat jenama asli tembakau berkenaan, 'PAN MS' dan hasil pemeriksaan menemukan barangan berkenaan dalam premis terbabit.

"Kesemua barangan terbabit disita dan disimpan di stor KPDN Kulim untuk siasatan lanjut.

"Nilai rampasan adalah sebanyak RM1,194 dan pemilik kedai iaitu seorang wanita berusia 42 tahun ditahan untuk diambil keterangan berhubung kes itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Affendi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 102 (1) (c) iaitu mempunyai dalam milikan bagi maksud perdagangan barang-barang iaitu produk tembakau kunyah jenama 'PAN MS' adalah suatu cap dagangan berdaftar dan dipakaikan dengan salah di bawah Seksyen 100 Akta Cap Dagangan 2019.

"Orang ramai diharap dapat menyalurkan maklumat kepada pihak KPDN Kedah dengan menyalurkan sebarang kegiatan yang mencurigakan melalui saluran-saluran seperti berikut iaitu Portal e-aduan 2.0 http://eaduan.kpdn.gov.my atau Call Centre 1-800-886-800 dan E-mel [email protected]

"Selain itu, maklumat boleh disalurkan melalui Aplikasi EZ ADU KPDN atau Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03-88826088/6245 atau WhatsApp 019-848 8000 dan 019-279 4317 dan Pejabat KPDN Kedah di talian 04-7001745," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2023 @ 11:41 AM