TANGKI pikap yang diubahsuai untuk menyeleweng diesel. FOTO Ihsan KPDN.
TANGKI pikap yang diubahsuai untuk menyeleweng diesel. FOTO Ihsan KPDN.
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Seorang lelaki warga Thailand ditahan polis kerana cuba menyeleweng minyak diesel ke dalam tangki yang diubah suai yang ditemui dalam kenderaan jenis pikap yang dipandunya, semalam.

Lelaki berusia 40-an itu ditahan anggota Batalion 1, Pasukan Gerakan Am (PGA) ketika sedang memandu kenderaan bernombor pendaftaran Thailand itu di sekatan jalan raya di Durian Burung, sekitar jam 11.45 pagi.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, pihaknya menerima satu serahan kes daripada Pasukan Risik Kompeni D Batalion 1 Bukit Kayu Hitam berkaitan penyelewengan minyak diesel berkenaan jam 10 malam tadi.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut menemui sejumlah minyak diesel dalam tangki yang diubah suai yang disyaki digunakan untuk penyelewengan.

"Minyak diesel itu dianggarkan sebanyak 150 liter dan kenderaan pikap itu kemudian disita untuk siasatan lanjut.

"Anggaran nilai rampasan minyak diesel adalah sebanyak RM323 manakala anggaran nilai rampasan keseluruhan adalah sebanyak RM40,323," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Affendi berkata, lelaki Thailand itu ditahan dan ditempatkan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu sementara menunggu proses reman.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan dibaca bersama Peraturan 3

(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

"Sekiranya disabitkan dengan kesalahan mengikut akta ini boleh dikenakan penalti iaitu bagi mana-mana orang perseorangan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"Bagi kesalahan yang kedua, didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua- duanya sekali.

"Selain itu, bagi pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM2 juta dan bagi kesalahan yang kedua didenda tidak melebihi RM5 juta," katanya.

Affendi berkata, KPDN ingin memberi amaran keras dan menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terbabit dalam sindiket yang membabitkan aktiviti penyelewengan barang-barang kawalan ini.

Beliau berkata, tindakan tegas akan diambil termasuklah mendakwa mereka di mahkamah berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) (Akta 613).

"Jika disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta 613 ini boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau lima juta ringgit yang mana lebih tinggi.

"Sehubungan itu orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menyalurkan kepada pihak KPDN melalui portal e-aduan 2.0 http://eaduan.kpdn.gov.my atau Call Centre 1-800-886-800 atau E-mel [email protected] atau Aplikasi EZ ADU KPDN.

"Selain itu, maklumat boleh disalurkan melalui Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03-88826088/6245, aplikasi WhatsApp 019-848 8000 dan 019-279 4317 atau Pejabat KPDN Kedah 04-7001745," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mei 2023 @ 11:15 AM