Dua buah tangki yang dipercayai menyimpan 8,000 liter minyak diesel yang ditemui dalam serbuan di sebuah kawasan Kampung Bukit Lada, Pokok Sena.FOTO Ihsan KPDN
Dua buah tangki yang dipercayai menyimpan 8,000 liter minyak diesel yang ditemui dalam serbuan di sebuah kawasan Kampung Bukit Lada, Pokok Sena.FOTO Ihsan KPDN
Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Dua warga Myanmar ditahan dalam serbuan di kawasan Kampung Bukit Lada, Pokok Sena, dekat sini kerana disyaki menyeleweng 8,000 liter minyak diesel bernilai RM124,200, kelmarin.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, operasi dilakukan Unit Risikan/Operasi, Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, Kuala Lumpur sebelum diserahkan kepada pihaknya jam 11 malam.

Beliau berkata, turut dirampas, dua tangki dan beberapa peralatan pemindahan minyak diesel yang disyaki digunakan untuk kegiatan penyelewengan itu.

"Kedua-dua individu berusia 30-an dan 40-an itu ditahan untuk tindakan lanjut.

"Hasil soal siasat terhadap mereka mendapati, premis itu tidak mempunyai sebarang kebenaran daripada pengawal bekalan untuk berurusan dengan barang kawalan berkenaan.

"Kedua-dua suspek direman selama empat hari bermula 25 Februari hingga Selasa ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Affendi berkata, nilai rampasan keseluruhan dianggarkan sebanyak RM124,200.

Beliau berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Affendi berkata, KPDN serius dalam membanteras isu penyelewengan barang kawalan bersubsidi kerana pemberian subsidi bertujuan mengimbangi kos sara hidup rakyat.

Katanya, ia bukannya untuk diselewengkan seterusnya menafikan hak masyarakat yang sepatutnya menikmati subsidi ini.

"Orang ramai diharap dapat menyalurkan maklumat kepada Pejabat KPDN dengan menyalurkan sebarang kegiatan yang mencurigakan melalui saluran-saluran seperti Portal e-aduan 2.0 http://eaduan.kpdnhep.gov.my ii.Call Centre 1-800-886-800 atau emel [email protected] iv.Aplikasi EZ ADU KPDNHEP.

"Selain itu, pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03-88826088/6245 atau melalui aplikasi WhatsApp 019-848 8000 dan 019-279 4317 Pejabat KPDN Kedah 04-7001745," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Februari 2023 @ 11:16 AM