PENDUDUK, Maznah Osman, melihat persekitaran rumahnya yang ditenggelami banjir di Kampung Nibong, Hulu Terengganu. FOTO Ghazali Kori
PENDUDUK, Maznah Osman, melihat persekitaran rumahnya yang ditenggelami banjir di Kampung Nibong, Hulu Terengganu. FOTO Ghazali Kori
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Hanya 561 mangsa banjir di tiga daerah di Terengganu masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS), setakat jam 4 petang.

Kesemua mangsa daripada 120 keluarga itu ditempatkan di lapan PPS diSetiu, Dungun dan Marang.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, banjir yang melanda Terengganu sejak Khamis lalu beransur pulih pada hari ini apabila lebih ramai mangsa yang terjejas dibenarkan pulang ke kediaman mereka secara berperingkat.

Di daerah Dungun, seramai 443 mangsa daripada 112 keluarga berada di lima PPS.

Mereka ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Pelandang, Sekolah Kebangsaan (SK) Balai Besar, SK Tok Kah, SK Pulau Serai dan SK Sura.

Dua PPS iaitu SK Pengkalan Berangan dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merchang di Marang masih dibuka bagi menempatkan 116 mangsa.

Di Setiu, hanya dua mangsa daripada satu keluarga masih berlindung di PPS Surau Kampung Nyatoh.

Sebelum ini, terdapat seramai 50 penduduk daripada 11 keluarga berada di PPS berkenaan.

Ketika ini, hujan masih melanda di beberapa kawasan di Terengganu.

Sementara itu, berdasarkan laman web rasmi Public Info Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran, paras air di kebanyakan sungai utama di Terengganu berada pada paras normal.

Ketika ini, hanya Sungai Tersat di Kampung Sekayu, Hulu Terengganu merekodkan bacaan melepasi paras waspada dengan bacaan 19.85 meter (m) berbanding paras normal 18 m.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2023 @ 4:56 PM