GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Jadual penyiaran di ntv7 diubah bagi memberi laluan kepada saluran DidikTV Kementerian Pendidikan Malaysia (DidikTV KPM) yang akan bersiaran setiap hari.

Perubahan dalam kandungan saluran ntv7 adalah satu sokongan drastik dalam membantu usaha KPM meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti bagi semua murid di seluruh negara melalui capaian luas Media Prima di dalam negara dan keupayaannya menerbitkan kandungan berkualiti.

Slot berita Edisi 7 dan Edition 7 digantikan dengan Buletin Didik yang akan bersiaran setiap hari jam 7.30 malam dan siaran ulangan pada jam 12 tengah hari keesokannya.

Selain aktiviti kurikulum, pelbagai kegiatan kokurikulum seperti sukan, kesenian dan pelbagai pertandingan turut diberikan liputan.

Tiga program sedia ada iaitu Trio On Point, Topik dan Breakfast@9 juga tidak ketinggalan untuk menyediakan kandungan yang relevan dengan dunia pelajar.

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad (MPB) dan Primeworks Studios, Datuk Khairul Anwar Salleh berkata, dalam usaha mengetengahkan ntv7 sebagai hub pendidikan Malaysia, Buletin Didik diperkenalkan bagi memaparkan perkembangan industri pendidikan dan pencapaian cemerlang pelajar, guru dan sekolah.

Menurutnya, ntv7 menyiarkan kandungan pengajaran dan pembelajaran (PdP) berteraskan kurikulum dan kokurikulum KPM selain program berkaitan pendidikan termasuk kandungan didik hibur (edutainment).

"Kandungan yang disiarkan diluluskan oleh KPM selaras dengan Sistem Pendidikan Kebangsaan mengikut sukatan kurikulum dan kokurikulum kebangsaan.

"Ia juga akan memaparkan kandungan yang memperkasakan budaya ilmu, menerapkan nilai murni dan mewujudkan platform bagi masyarakat berinformasi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, berita baik buat calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), ntv7 akan menambah slot waktu program popular Road To Success SPM 2020 bagi membantu mereka gerak gempur sebelum menduduki peperiksaan bermula 22 Februari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan DidikTV KPM menerusi rancangan Malaysia Hari Ini (MHI) yang disiarkan secara langsung di televisyen dan saluran Youtube serta Facebook ntv7 Malaysia.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin turut hadir dalam rancangan MHI dengan menghuraikan lebih lanjut kandungan saluran DidikTV KPM.

DIDIKTV Road To Success SPM (2020): https://www.youtube.com/playlist?list=PLL9CnO8V-9tvp_AF9MyM2eGttS6TjITng

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Februari 2021 @ 11:12 AM