LORI pasir yang terbalik selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta Perodua Kenari di Kilometer 29, Jalan Kuala Nerang, Padang Sanai-Sintok. FOTO Ihsan BOMBA
LORI pasir yang terbalik selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta Perodua Kenari di Kilometer 29, Jalan Kuala Nerang, Padang Sanai-Sintok. FOTO Ihsan BOMBA
Zuliaty Zulkiffli


Kuala Nerang: Seorang pemandu lelaki berusia 34 tahun maut apabila sebuah lori pasir yang dipercayai hilang kawalan dan terbabas masuk ke laluannya.

Kemalangan dipercayai berlaku sekitar jam 4.20 petang hari ini di Kilometer 29 Jalan Kuala Nerang, Padang Sanai-Sintok, dekat sini.

Lelaki itu yang memandu kereta Perodua Kenari beralamat di Kampung Padang Cenderai, Mukim Padang Terap Kiri, di sini meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Manakala pemandu lori pasir berusia 36 tahun yang beralamat di Kampung Bukit, Mukim Bukit Lada itu mengalami kecederaan di bahagian badan dan sedang dirawat di Hospital Kuala Nerang (HKN).

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar berkata, siasatan awal mendapati kereta Perodua Kenari itu dipercayai dari arah Kuala Nerang menuju ke Sintok manakala lori pasir itu dari arah bertentangan.

Menurutnya, setibanya di lokasi kejadian, lori pasir itu dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan kereta Perodua Kenari itu sehingga menyebabkan berlaku pelanggaran dari arah depan.

"Lori pasir dan kereta Perodua Kenari itu kemudian terbabas ke bahu jalan di laluan sebelah kiri menghala ke Kuala Nerang.

"Akibat daripada itu, pemandu kereta Perodua Kenari itu tersepit di tempat duduk pemandu dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian

"Kemalangan itu turut menyebabkan lori pasir itu terbalik dan rosak di bahagian depan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mulkiaman berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, mangsa berjaya dikeluarkan dengan bantuan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang.

Beliau berkata, pemandu lori terbabit kemudian dihantar ke HKN untuk mendapatkan rawatan dengan menggunakan jentera EMRS BBP Kuala Nerang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 September 2022 @ 9:51 PM