MOHD Yusri (kanan) menunjukan gambar pendatang tanpa izin (PATI) berjaya ditangkap dalam Ops Pintas Khas ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen Perak, Ipoh. FOTO L Manimaran
MOHD Yusri (kanan) menunjukan gambar pendatang tanpa izin (PATI) berjaya ditangkap dalam Ops Pintas Khas ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen Perak, Ipoh. FOTO L Manimaran
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Suami isteri warga tempatan dan lelaki warga Indonesia ditahan kerana disyaki berperanan sebagai 'transporter' untuk menyeludup pendatang asing tanpa izin (Pati) ke negara ini.

Ketiga-tiga suspek ditahan dalam Ops Pintas Khas oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dalam serbuan di Hutan Melintang pada 29 November lalu.

Selain itu, polis turut menahan seorang lelaki warga Timor Leste dipercayai ejen di kawasan sama.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, tiga suspek ditahan ketika cuba menyeludup masuk 10 Pati lelaki warga Indonesia melalui jalan laut dari perairan Sungai Tiang di Teluk Intan ke kawasan kebun pisang di Hutan Melintang kira-kira 5.30 pagi.

Menurutnya, siasatan mendapati mereka menggunakan dua kenderaan termasuk sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Serena untuk aktiviti penyeludupan itu.

"Tangkapan itu membawa kepada penahanan seorang lelaki warga Timur Leste dipercayai ejen penyeludupan migran khususnya dari Indonesia menerusi serbuan pada 6.30 pagi hari sama di kawasan sama.

"Suspek terbabit mengenakan bayaran antara RM1,500 hingga RM1,800 bagi setiap migran yang diseludup masuk lalu akan diambil oleh ejen sebelum dihantar ke seluruh negara.

"Kesemua tangkapan berusia 25 hingga 60 tahun kini direman untuk siasatan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dab Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Atipsom)," katanya dalam sidang media di Bilik Media IPK Perak, di sini, hari ini.

Menurutnya, faktor geografi iaitu jarak paling dekat dengan Indonesia menjadikan daerah Hilir Perak khususnya Bagan Datuk kerap dijadikan lokasi pendaratan Pati dari negara terbabit.

Katanya, pihaknya menubuhkan pasukan khas bagi Op Pintas dengan menumpukan kepada kes-kes penyeludupan migran.

"Sepanjang tahun ini, polis Perak menangkap seramai 17 warga tempatan serta 184 migran yang melakukan pelbagai kesalahan di bawah peruntukan Atipsom 2007 membabitkan sebanyak 10 serbuan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2023 @ 6:31 PM