ADNAN Mat.
ADNAN Mat.
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Kongres Kesatuan Pekerja Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menolak sebarang cadangan untuk menubuhkan jawatankuasa pemerhati bagi memantau kecenderungan politik penjawat awam.

Presidennya Datuk Dr Adnan Mat menyifatkan cadangan berkenaan sebagai perkara yang hanya merugikan sumber semasa perkhidmatan awam.

"Cuepacs ingin menegaskan penjawat awam kekal profesional dalam menjadi tulang belakang kepada pentadbiran kerajaan dan negara.

"Sudah pasti setiap penjawat awam mempunyai ideologi dan pandangan politik masing-masing.

"Cuepacs memberi jaminan mereka sangat profesional dan sentiasa berkecuali dalam melaksanakan tanggungjawab selain boleh membezakan kepentingan awam yang dipikul," katanya dalam kenyataan, semalam.

Adnan berkata, sebagai penjawat awam, mereka sudah berikrar untuk menyatakan taat setia sepanjang perkhidmatan kepada kerajaan sedia ada.

Bagaimanapun, katanya, dalam konteks demokrasi seseorang penjawat awam berhak mempunyai pandangan sendiri tanpa paksaan termasuk ketika membuang undi pada pilihan raya.

"Tiada keperluan dan kewajaran untuk kerajaan menubuhkan jawatankuasa daripada mana-mana kementerian bagi meninjau kecenderungan politik penjawat awam.

"Cuepacs ingin bertanya kepada pihak yang melontarkan idea ini adakah pengundi di negara ini hanya penjawat awam sahaja sehingga menjadikan kami sebagai perhatian.

"Dahulu pun penjawat awam pernah dilabel mengundi pembangkang sehingga pembangkang itu menjadi kerajaan pada hari ini.

"Apabila sudah menjadi kerajaan sewajarnya pihak yang diberi amanah itu fokus untuk melaksanakan kerja pada rakyat dan bukannya mencari kesalahan penjawat awam," katanya.

Menurut Adnan, tidak adil sekiranya keseluruhan penjawat awam disasarkan hanya semata-mata memiliki kecenderungan politik yang berbeza.

Katanya, penjawat awam seharusnya mendukung aspirasi kerajaan sedia ada, tetapi mereka tetap mempunyai hak dan pilihan apabila tiba masanya untuk memilih.

"Langkah dicadangkan ini juga sebenarnya hanya merugikan negara kerana lebih banyak perkara yang perlu dilakukan kerajaan selain daripada memantau kecenderungan politik penjawat awam.

"Apatah lagi penubuhan jawatankuasa tersebut menggunakan sumber sedia ada kerajaan dan perkhidmatan awam.

"Usaha ini sepatutnya ditumpukan sahaja bagi perkara yang penting seperti meningkatkan kos taraf hidup rakyat atau apa sahaja perkara yang memberikan kebaikan kepada negara," katanya.

Katanya, semua ahli politik diingatkan tidak membabitkan perkhidmatan awam dan warganya dalam kepentingan politik masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 November 2023 @ 3:49 PM