PRESIDEN Cuepacs, Datuk Adnan Mat. FOTO arkib NSTP
PRESIDEN Cuepacs, Datuk Adnan Mat. FOTO arkib NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyelar tindakan ahli politik yang menyerang dan mengugut penjawat awam sekiranya berjaya menawan Putrajaya kelak.

Presiden Cuepacs, Datuk Adnan Mat berkata, modal kempen berunsur serangan terbuka itu adalah tidak profesional.

"Cuepacs meraikan setiap pandangan yang dilontarkan oleh parti politik terutama membabitkan perkhidmatan awam dan warganya.

"Cuepacs difahamkan bahawa pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak pernah mendedahkan yang pegawai mereka melakukan serbuan ke pejabat milik mana-mana ahli politik dalam tempoh berkempen ini.

"Perkara itu hanya diketahui oleh umum apabila ahli politik yang mendedahkannya kepada pihak umum," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, tidak jelas apakah niat di sebalik tindakan berkenaan serta serangan secara terbuka itu dilakukan.

"Semua pihak harus mengetahui bahawa setiap perkara yang dilakukan oleh penjawat awam adalah berlandaskan undang-undang dan semangat profesionalisme yang tinggi tanpa mengambil kira soal politik kepartian.

"Seharusnya calon-calon atau ahli politik yang berkempen sepanjang pilihan raya tidak keterlaluan menyerang perkhidmatan awam," katanya.

Adnan berkata, pihaknya memahami bahawa terdapat ahli politik yang tidak dapat mengawal emosi semasa berkempen apatah lagi di hadapan ribuan penyokong masing-masing.

"Bagaimanapun perkara itu tidak menghalalkan serangan atau ugutan secara terbuka terhadap penjawat awam dilakukan.

"Justeru itu, dalam tempoh kempen yang hanya berbaki sedikit lagi ini, Cuepacs berharap semua pihak menghormati satu sama lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2022 @ 6:31 PM