PRESIDEN MSU, Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri bersama 17 graduan penerima Anugerah Industri.
PRESIDEN MSU, Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri bersama 17 graduan penerima Anugerah Industri.
Norzamira Che Noh


Seramai 4,144 graduan daripada 124 program pengajian diraikan menerusi Majlis Konvokesyen Management and Science University (MSU) ke-28 yang bermula pada 21 hingga 24 November lalu.

Majlis konvokesyen berkenaan tertangguh sejak Februari lalu, justeru, ia membabitkan jumlah graduan yang paling ramai.

Presiden MSU, Prof Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid berkata, secara keseluruhan seramai 37 graduan menerima ijazah peringkat doktor falsafah; 62 graduan ijazah sarjana; 2,045 graduan sarjana muda serta 2,000 graduan diploma.

Katanya, acara berkenaan diadakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) berdasarkan garis panduan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia serta selaras dengan pelaksanaan Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Faculty of Business Management and Profesional Studies (FBMP) menyumbang graduan terbesar iaitu 1,253 manakala Faculty of Information Sciences and Engineering adalah fakulti dengan bilangan program pengajian terbanyak iaitu 29 program.

"Turut diraikan ialah graduan sulung bagi 10 program pengajian iaitu Bachelor in Cardiovascular Technology (Hons); Bachelor in Health Science Management (Hons); Bachelor in Education (Science) (Hons); Bachelor of Science in Aviation Management and Piloting (Hons), Bachelor in Visual Communication and Marketing (Hons).

"Diploma of Ophthalmic Dispensing, Diploma in Office Management Technology, Diploma in Translation and Interpretation, Diploma in Interior Design dan Diploma in Information Management," katanya pada sidang pertama Majlis Konvokesyen MSU di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, lima kategori anugerah khas kecemerlangan turut diberikan kepada 67 graduan bagi mengiktiraf pencapaian keseluruhan mereka sepanjang tempoh pengajian dalam bidang masing-masing.

Mengulas lanjut, Mohd Shukri berkata, 43 graduan dan 17 graduan pula masing-masing menerima Anugerah Akademik serta Anugerah Industri.

Jelasnya, MSU adalah antara universiti terbaik di negara ini yang memfokuskan kepada penawaran program pengajian untuk melahirkan modal insan berkualiti serta memenuhi keperluan global.

"Peranan MSU dalam mempelopori serta memperkasakan aspek pembelajaran dan pengajaran berkualiti selaras dengan perkembangan semasa mendapat pelbagai pengiktirafan serta akredasi di peringkat domestik dan antarabangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 November 2021 @ 6:39 AM