PENDUDUK kampung melihat keadaan sebahagian jambatan besi Kampung Temalir Lama yang runtuh susulan  limpahan air Sungai Pahi selain rempuhan sisa-sisa kayu yang dibawa bersama arus deras. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
PENDUDUK kampung melihat keadaan sebahagian jambatan besi Kampung Temalir Lama yang runtuh susulan limpahan air Sungai Pahi selain rempuhan sisa-sisa kayu yang dibawa bersama arus deras. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Hazira Ahmad Zaidi

Kuala Krai: Lebih 2,000 penduduk dari dua kampung iaitu Kampung Temalir dan Kampung Temalir Lama berhadapan kesukaran apabila jambatan besi Kampung Temalir Lama berusia lebih 20 tahun sering kali ditenggelami banjir.

Penduduk, Mohd Roslizi Salleh, 48, berkata, jambatan berkenaan menjadi penghubung utama penduduk kampung dan saya berharap supaya jambatan baharu akan dibina lebih cepat.

"Bagaimanapun, lebih membimbangkan lagi adalah hakisan tebing sungai juga semakin teruk terutamanya apabila hujan.

"Justeru itu, saya berharap agar jambatan baharu yang bakal dibina kelak akan lebih lebar serta mempunyai ciri-ciri keselamatan yang lebih baik supaya ia tidak mudah rosak atau runtuh semasa musim hujan," katanya ketika ditemui di Kampung Temalir Lama, di sini, semalam..

Seorang lagi penduduk, Saiafudin Wahab, 52, berkata, apabila jambatan itu rosak atau ditenggelami banjir, aktiviti penduduk terganggu apabila mereka terpaksa menggunakan laluan alternatif yang lebih jauh.

"Rumah saya terletak beberapa kilometer dari jambatan ini, namun laluan ini sering kali digunakan untuk ke bandar Kuala Krai kerana jaraknya yang lebih dekat.

"Sebelum ini jambatan ini sudah beberapa kali dibaik pulih, namun arus deras Sungai Pahi menyebabkan tebing dan sebahagian jambatan ini runtuh dan sekiranya hujan lebat dan arus sungai deras berlaku sekali lagi, tidak mustahil keseluruhan jambatan ini akan pecah dan dihanyutkan," katanya katanya

Sementara itu, Penghulu Mukim Temalir, Zakaria Idris, 49, berkata, hujan lebat berterusan sejak Khamis lalu menyebabkan sebahagian jambatan itu runtuh pada pada keesokan harinya disebabkan limpahan air Sungai Pahi selain rempuhan sisa-sisa kayu yang dibawa bersama arus deras.

"Susulan daripada kejadian itu, penduduk Kampung Temalir terpaksa menggunakan jalan alternatif lain yang agak jauh selain keadaan jalan berisiko dan mengambil masa kira-kira 20 minit berbanding menggunakan jambatan ini, hanya lima minit.

"Setiap kali hujan lebat atau musim tengkujuh, jambatan ini sering kali ditenggelami air dan bagi menyelesaikan permasalahan ini, saya sudah berbincang dengan ahli Parlimen Kuala Krai selain sudah dirujuk kepada pihak Pejabat Tanah dan Jajahan Kuala Krai, Lembaga Kemajuan Kelantan (Kesedar) dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

"Saya amat berharap permohonan untuk menaik taraf jambatan besi ini boleh diluluskan dengan segera sekaligus memudahkan urusan harian penduduk," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2022 @ 9:29 AM