Abdul Rahman menunjukkan hakisan tebing jambatan. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Abdul Rahman menunjukkan hakisan tebing jambatan. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Jambatan yang menjadi laluan alternatif untuk penduduk empat kampung iaitu Kampung Pasir Hor, Kampung Pasir Jelatang, Pasir Seribong dan Kampung Rupek di sini, ditutup kepada semua kenderaan berikutan runtuhan tebing pada pagi semalam.

Tinjauan di lokasi kejadian mendapati papan tanda amaran diletakkan kira-kira 100 meter (m) dari lokasi rekahan bagi mengelak berlakunya insiden tidak diingini.

Penduduk kampung, Abdul Rahman Husin, 63, berkata, kira-kira 7 pagi tadi, dia melalui jambatan berkenaan untuk ke bandar Kubang Kerian, namun pada ketika itu, runtuhan hanya berlaku di bahagian tepi jambatan dan boleh dilalui oleh motosikal.

"Bagaimanapun, tidak lama selepas itu, saya dimaklumkan runtuhan serta rekahan semakin serius dengan lebar lebih dua m dan terpaksa ditutup kepada semua kenderaan bagi mengelak kejadian tidak diingini.

"Hakisan tebing ini berlaku disebabkan terdapat banyak tunggul pokok dan apabila berlakunya hujan lebat, ia menyebabkan paras Sungai Lubok Mulong meningkat sekali gus arus deras menghakis tebing jambatan berkenaan," katanya ketika ditemui di Kampung Pasir Hor, di sini, hari ini.

Katanya, pada ketika ini, jambatan berkenaan ditutup kepada semua kenderaan termasuk kereta dari kedua-dua arah dengan meletakkan papan tanda sebagai peringatan sehingga kerja membaik pulih jambatan itu selesai.

"Disebabkan itu, kebanyakan penduduk yang tinggal di kawasan berhampiran terpaksa menggunakan jalan alternatif untuk sementara waktu," katanya.

Seorang lagi penduduk, Amirah Syamimi Mohd Noor, 21, berkata, dia menyedari runtuhan tebing jambatan berkenaan ketika hendak melaluinya untuk ke tempat kerja pada pagi tadi.

"Dalam masa sama, hakisan ini turut menyebabkan aktiviti penduduk terganggu apabila mereka terpaksa menggunakan laluan alternatif lebih jauh dan tidak mempunyai pilihan lain demi keselamatan.

"Saya berharap hakisan tebing jambatan ini segera dibaiki oleh pihak berwajib memandangkan ia menjadi laluan alternatif kepada semua penduduk di kawasan sekitarnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2023 @ 8:40 AM