Anak arwah, Ehmad Hadie Elfardie dan Sallman Elkhoyri ketika pengebumian  bapanya. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Anak arwah, Ehmad Hadie Elfardie dan Sallman Elkhoyri ketika pengebumian bapanya. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Oleh Omar Ahmad


Kota Tinggi: Lagu ciptaan dan nyanyian Allahyarham Mohd Suhaimi Saad bertajuk 'Selamat Tinggal Dunia' yang ditulisnya 15 tahun lalu, menggambarkan Allahyarham akan meninggalkan dunia di usia muda.

Presiden Majlis Usahawan Nasyid Malaysia (Munsyid Malaysia) Muhamad Razin Che Mud berkata, lagu itu membayangkan keadaan pada hari ini, yang mana arwah meninggalkan isteri dan anak-anak.

"Ada rakan-rakan artis yang kongsikan hasil karya Allahyarham 'Selamat tinggal dunia' di laman sosial.

"Ironinya, saya teringat, satu karya beliau 15 tahun lalu, tajuk dia Selamat Tinggal Dunia membayangkan dia tinggalkan isteri dan anak seolah beri gambaran awal dia akan pergi pada usia muda.

"Kita doakan lagu karya beliau Allah SWT angkat sebagai amal ibadat dan pahala kepada dia, semoga karya Allahyarham memberi manfaat Insya-Allah," katanya yang juga penyanyi kumpulan Mestica.

Video muzik lagu itu juga memaparkan isteri Allahyarham, Nordiana Mohd Naim atau mesra disapa Ina Naim sebagai model yang menziarah dan menyiram pusara.

Video muzik berdurasi empat minit 45 saat itu turut memaparkan kemesraan Ina dan Suhaimi menjalani kehidupan indah sebagai suami isteri sebelum kematiannya.

Menurut Razin, walaupun berpendirian tegas, Allahyarham mempunyai sifat gemar menyantuni sahabat biarpun menetap di Kota Baharu, Kelantan sekian lama.

Katanya, perwatakan soleh Allahyarham juga disenangi rakan lain.

"Allahyarham cukup rajin menyantuni rakan-rakan dan hadir majlis diadakan Munsyid walaupun tinggal jauh di Kelantan.

"Jika kami ada persembahan di Kelantan, kami juga akan menziarah beliau sekeluarga. Allahyarham seorang yang baik, soleh dan ada kalanya sangat tegas dalam menyatakan pendiriannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 November 2023 @ 1:28 PM