ARWAH Suhaimi. FOTO NSTP
ARWAH Suhaimi. FOTO NSTP
Norhayati Nordin

 

Kuala Lumpur: Bekas anggota kumpulan nasyid In-Team, Allahyarham Suhaimi Saad, 43, disahkan meninggal dunia pada 7.40 malam ini di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru akibat jangkitan kuman di paru-paru.

Berita sedih mengenai kematian Suhaimi yang juga suami penyanyi, Ina Naim ini dikongsikan anggota In-Team, Hazamin di Instagram miliknya yang memohon disedekahkan Al-Fatihah kepada arwah.

"Sahabat kami, Suhaimi Saad telah kembali ke Penciptanya jam 7.40 malam tadi. Mohon semua mendoakan almarhum dan sedekahkan bacaan Al- Fatihah.

"Semoga Allah mengampuninya dan mengumpulkan rohnya bersama para solihin," tulisnya pada kapsyen foto Allahyarham Suhaimi ketika aktif bersama In-Team dulu.

Perkongsian Hazamin itu dihujani komen daripada warga maya yang mengucapkan takziah kepada Ina dan keluarga di atas kehilangan suami tercinta.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan Suhaimi terpaksa ditidurkan dan bergantung sepenuhnya kepada alat bantuan pernafasan.

Allahyarham dikatakan mengalami jangkitan hingga berlaku kegagalan organ dalaman akibat batuk kronik dialami sejak empat bulan lalu dan cirit-birit selama tiga bulan sehingga berat badannya turun mendadak.

Allahyarham juga difahamkan  sudah dimasukan ke hospital berkenaan sejak Jumaat lalu.

Untuk rekod, Suhaimi berkahwin dengan Ina pada 12 Ogos 2007 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ehmad Hadie Elfardie, Sallman Elkhoyri, Phyrosh Elfadwah dan Nur Layla Elghufrony.

Berita berkaitan

Suhaimi masih ditidurkan, doktor sahkan bebas tibi

'Organ dalaman Suhaimi Saad gagal berfungsi, terpaksa bergantung alat bantuan pernafasan'

'Ya, suami sakit, tak sihat sedikit. Doakan ya' - Ina Naim

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 November 2023 @ 8:59 PM