Mayat Mohd Asrul Aafendy ditemui tersangkut pada jambatan pagi ini. FOTO IHSAN BOMBA.
Mayat Mohd Asrul Aafendy ditemui tersangkut pada jambatan pagi ini. FOTO IHSAN BOMBA.
Oleh Muhamad Lokman Khairi


Pasir Salak: Mayat lelaki penghidap sawan yang mati lemas selepas dilaporkan hilang sejak semalam ketika memancing di tali air di Kampung Pasir Jenderis, Kampung Gajah di sini, ditemukan tersangkut pada jambatan pagi ini.

Difahamkan, Mohd Asrul Aafendy Shazali, 36, disedari hilang oleh orang awam selepas motosikal dan peralatan memancingnya ditinggalkan di lokasi kejadian.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Negeri Perak, Penguasa Kanan Bomba I Sabarodzi Nor Ahmad, berkata mayat mangsa ditemukan orang awam di radius 2.3 kilometer dari tempat dia dipercayai hilang dalam keadaan tersangkut di jambatan jam 10.57 pagi.

Terdahulu katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampung Gajah dikejarkan ke lokasi sebaik pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 2.54 petang semalam.

"Terdapat motosikal dan peralatan memancing yang masih berada di lokasi.

"Komander Operasi, Abd Hadi Abdullah mengarahkan anggota membuat pencarian di kawasan sekeliling manakala pasukan penyelamat di air (PPDA) melaksanakan pencarian di permukaan sekeliling kawasan kejadian.

"Dua anjing pengesan K9 turut dilibatkan dengan operasi pencarian pagi ini diteruskan bersama empat buah bot orang awam serta masing-masing sebuah bot bomba dan polis," katanya.

Menurutnya lagi, pasukan penyelamat meneruskan pencarian dengan menggunakan teknik 'follow the stream' serta pencarian di permukaan pada jarak radius dua kilometer (km).

"Pasukan PPDA membuat selaman sedalam dua meter pada hotspot mangsa dipercayai terjatuh.

"Pada 10.57 pagi, Ketua Balai BBP Kampung Gajah lapor mangsa dijumpai oleh orang awam pada radius 2.3 km, tersangkut di jambatan.

"Mayat kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Operasi berkenaan turut dibantu BBP Teluk Intan, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysua (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan orang awam ditamatkan jam 11.20 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2023 @ 12:31 PM