LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: "Apa yang saya lakukan sebelum ini (berkongsi mengenai insiden buli) itu bukan untuk suka-suka.

"Saya berharap pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) memahami situasi dan tindakan itu kerana saya mahu suasana persekitaran yang lebih selamat bukan saja untuk anak saya tetapi semua pelajar terutama junior," kata ibu mangsa buli di sebuah sekolah berasrama penuh di Perak.

Wanita itu yang enggan dikenali mengakui terkilan jika dia antara individu yang akan diambil tindakan undang-undang oleh PIBG sekolah berkenaan susulan perkongsiannya di media sosial mengenai insiden buli membabitkan anaknya.

Bagaimanapun katanya, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang notis mengenai perkara itu dan mengakui tidak mengetahui dengan jelas termasuk siapa individu yang bakal diambil tindakan itu.

Menurutnya, pihak berkenaan sepatutnya membantu mereka untuk memastikan persekitaran sekolah lebih selamat bukan saja untuk anaknya, malah untuk semua pelajar kerana ketika kejadian beberapa individu itu didakwa memanggil semua pelajar tingkatan empat.

"Saya tidak pasti mengenai perkara itu (tindakan undang-undang) dan tak dapat nak mengulas lanjut mengenainya tetapi saya sudah mendapat panggilan daripada pihak polis untuk memberi keterangan.

"Sebagai ibu, saya terkilan kerana pihak berkenaan (PIBG) mengambil tindakan seperti itu," kepada Harian Metro ketika dihubungi, hari ini.

Wanita berkenaan juga berkata, dia dan keluarga sentiasa bersedia bertemu dengan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam menyelesaikan masalah berkenaan secara tuntas demi menuntut keadilan untuk anak lelakinya.

Katanya, dia juga berterima kasih dengan Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying dan pihak KPM yang mengambil maklum kejadian itu, namun setakat ini pihak berkenaan belum menghubungi mereka untuk sebarang pertemuan.

"Kami juga berharap dapat bertemu Timbalan Menteri dan Menteri Pendidikan (Fadhlina Sidek) bila-bila masa serta mendengar sendiri daripada menteri mengenai isu ini kerana selama ini pihak berkenaan giat melakukan kempen anti buli.

"Kita juga ada dengar konsep 'you touch you go' (anda buli, anda akan disingkir) dan kalau awal ia dipratikkan mungkin kita boleh 'move on' (sekali gus tidak bimbang kejadian sama akan berulang)," katanya.

Mengenai anaknya, wanita itu memaklumkan keadaan remaja lelaki berkenaan baik namun mengakui anak agak tertekan dengan isu berkenaan kerana ada maklumat yang dikeluarkan mengenai perkara itu tidak benar.

"Anak beransur sihat dan dia juga agak sedih kerana ada yang mendakwa dia buat itu, buat ini tetapi ia tidak benar.

"Kami mahu ulas pun bimbang ia akan menjadi lebih besar jadi kami serahkan semua kepada pihak berkuasa.

"Anak sayangkan sekolahnya dan dia sudah rindu ke sekolah dan berjumpa rakan. Justeru saya sangat berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan adil dan cepat," katanya.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan polis menyiasat kejadian buli membabitkan pelajar Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 MCKK mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Kejadian itu didedahkan ibu mangsa menerusi perkongsian media sosial selepas anaknya yang berusia 16 tahun didakwa dibuli pelajar senior sehingga menerima rawatan di hospital.

Bagaimanapun, PIBG MCKK meluahkan kekesalan terhadap tindakan penularan itu dan kemudian media melaporkan pihak terbabit dan beberapa ahli keluarga pelajar bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap tiga pemilik akaun media sosial selepas didakwa memuat naik kenyataan berunsur fitnah dan fakta tidak tepat mengenai isu institusi itu.

KPM turut menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan pelajar yang terbabit dengan kes buli berkenaan dan

sentiasa terbuka untuk bertemu ibu bapa atau waris pelajar berkenaan sekiranya mereka mahu berbuat demikian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 November 2023 @ 1:11 PM