AHMAD Zahid (duduk, tengah) pada sidang media selepas perasmian Retreat Biro Politik UMNO Bahagian-Bahagian Kedah. FOTO Bernama
AHMAD Zahid (duduk, tengah) pada sidang media selepas perasmian Retreat Biro Politik UMNO Bahagian-Bahagian Kedah. FOTO Bernama
M Hifzuddin Ikhsan


Alor Setar: UMNO memberi bayangan berkemungkinan meletakkan calon langsung (direct candidate) yang tidak berada dalam barisan kepimpinan parti pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, 2 Disember ini.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan meletakkan calon langsung bukan sesuatu perkara baharu, tetapi sudah dilakukan sejak dahulu bagi memastikan kemenangan parti.

Jelasnya, langkah itu dilihat mampu memberi kejutan kepada pihak lawan dan membuka peluang kepada calon Barisan Nasional (BN) menang selepas pembangkang menang dengan majorti besar di kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

"Kita pernah melakukan pemilihan untuk calon langsung tanpa melihat hieraki (calon) dalam parti dan ini telah diterima dengan baik dan besar kemungkin besar kaedah sama dibuat untuk PRK Kemaman.

"Yang penting bukan hanya kememangan, tetapi sekurang-kurangnya majoriti seteru politik kita boleh dikurangkan. Itu adalah indikasi kepada kejayaan yang akan kita mulakan di Parlimen Kemaman ini," katanya pada sidang media selepas hadir Majlis Perasmian Retreat Biro Politik UMNO Bahagian-Bahagian Kedah di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Timbalannya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Sebelum ini, timbul desas desus mengatakan bekas pegawai kanan tentera, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor bakal diumumkan sebagai calon BN bagi PRK Kemaman pada Isnin ini.

Turut dikatakan berkemungkinan bertanding adalah bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, namun beliau dilaporkan menyatakan tidak akan bertanding dan akan memberi laluan kepada calon muka baharu.

Turut dikatakan berminat adalah bekas Ahli Parlimen Kemaman yang kini adalah Pengerusi FELDA, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menjelaskan, UMNO kini dalam proses menyusun semula struktur organisasi itu dan jentera pilihanrayanya sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Katanya, langkah menyusun semula parti termasuk menyatukan kembali setiap lapisan kepimpinan UMNO akan dapat dilihat pada gerak kerja kempen pada PRK Kemaman kali ini.

"Kita mempunyai tempoh 36 bulan dari sekarang untuk persediaan menghadapi PRU16, walaupun agak terlalu awal, tapi kita mesti ambil beberapa tindakan terutamanya dalam penyatuan pemikiran kepimpinan peringkat negeri bahagian dan cawangan.

"Beberapa kaedah untuk struktur organisasi di peringkat pelaksanaan jentera pilihan raya juga akan dirombak, kita akan mulakan dalam PRK Kemaman," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 November 2023 @ 2:13 PM