SISTEM pendidikan Malaysia dilengkapi bukan saja dengan kemudahan bagi MBPK di sekolah tetapi juga guru terlatih untuk memberi yang terbaik kepada mereka.
SISTEM pendidikan Malaysia dilengkapi bukan saja dengan kemudahan bagi MBPK di sekolah tetapi juga guru terlatih untuk memberi yang terbaik kepada mereka.
Oleh Suliati Asri


Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terus prihatin dan komited dalam bantuan meningkatkan keupayaan murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) sekali gus membolehkan golongan ini bukan saja seiring dengan rakan sebaya di arus perdana tetapi dapat meneruskan kelangsungan kehidupan selepas tamat persekolahan.

Pengarah Bahagian Pendidikan Khas Kementerian Pendidikan Malaysia, Dr Rodiah Idris berkata pihaknya tidak mahu golongan ini tertinggal dalam sistem pendidikan.

Katanya sistem pendidikan di Malaysia dilengkapi bukan saja dengan kemudahan bagi MBPK di sekolah tetapi juga guru terlatih untuk memberi yang terbaik kepada mereka.

"Secara kronologinya, pendidikan khas di Malaysia bermula sebelum merdeka iaitu pada era 1920-an yang disediakan badan bukan kerajaan dan kumpulan mubaligh, kemudian tanggungjawab itu diambil oleh KPM selepas merdeka.

"Dulu, hanya tiga kategori MBPK iaitu ketidakupayaan pendengaran, penglihatan dan masalah pembelajaran.

"Namun, selepas penambahbaikan Peraturan-peraturan Pendidikan (pendiidkan Khas) 2013 kategori MBPK diperluas kepada enam kategori iaitu ketidakupayaan pendengaran, penglihatan, pertuturan, fizikal dan masalah pembelajaran membabitkan down sindrom, autisme, Gangguan Hiperaktif Defisit Perhatian (ADHD) serta ketidakupayaan pelbagai.

"Sehingga 31 Julai lalu, jumlah keseluruhan MBPK adalah seramai 112,746 orang," katanya.

Dr Rodiah berkata KPM sentiasa menyokong dan mengamalkan prinsip pendidikan untuk semua golongan tanpa mengira latar belakang, ketidakupayaan, kaum dan ekonomi.

Justeru, KPM menyediakan pendidikan bagi MBPK melalui tiga pilihan persekolahan iaitu pertama adalah Sekolah Pendidikan Khas iaitu sekolah khusus yang menyediakan pendidikan khas bagi MBPK pada semua peringkat persekolahan (prasekolah, rendah, menengah dan lepas menengah).

"Kedua, Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) untuk pendidikan bagi MBPK yang terdapat di sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan tetapi ada kelas yang khusus serta guru yang boleh membimbing mereka berlandaskan kepada masalah pembelajaran.

"Kemudian, yang ketiga ialah Program Pendidikan Inklusif (PPI) iaitu program pendidikan bagi MBPK bersama-sama dengan murid arus perdana dalam kelas yang sama di sekolah," katanya.

Sehingga kini, di Malaysia terdapat 35 sekolah pendidikan khas, 2,659 PPKI manakala 3,373 PPI dan semua MBPK adalah disahkan oleh pengamal perubatan, ahli optik, ahli audiologi atau ahli psikologi layak untuk memohon.

"Kita juga mengadakan Program Saringan Penentuan Murid Berkeperluan Khas (PROSPER) serta intervensi dan apabila murid-murid ini adalah MBPK, nama mereka akan dimasukkan dalam sistem KPM dan mendapat kad Orang Kurang Upaya (OKU)," katanya.

Dalam usaha memastikan MBPK mendapat pembelajaran yang bersesuaian, KPM menyediakan dua aliran peluang pembelajaran iaitu aliran akademik dan kemahiran dengan berlandaskan kepada empat kurikulum.

Pertama ialah Kurikulum Kebangsaan yang diikuti oleh MBPK di PPI. Kedua, kurikulum yang diubah suai berdasarkan ketidakupayaan MBPK seperti masalah pendengaran dan penglihatan.

"Kurikulum ketiga adalah Kurikulum Standard Sekolah Rendah Pendidikan Khas dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah Pendidikan Khas.

"Manakala keempat ialah kurikulum latihan kemahiran yang sesuai dan bermanfaat bagi MBPK yang merujuk kepada kursus kemahiran di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran sekali gus melayakkan MBPK memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia.

"Dengan itu, MBPK boleh memilih aliran akademik atau kemahiran berdasarkan minat dan keupayaan masing-masing," katanya.

Mengulas lanjut mengenai bidang kemahiran yang disediakan KPM kepada MBPK, Dr Rodiah berkata ia ditawarkan mengikut potensi MBPK.

Menurutnya, MBPK boleh mengambil bidang kemahiran yang tawarkan di Sekolah Menengah Pendidikan Khas (SMPK) Vokasional, Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas dan Kolej Vokasional Keningau.

Manakala MBPK PPKI di sekolah menengah harian biasa berpeluang mendapatkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) secara modular.

"Untuk makluman, KPM juga akan membuka akses pendidikan kepada MBPK lepasan menengah PPKI melalui program MBPK di Kolej Vokasional dengan diberikan pengiktirafan pensijilan kemahiran SKM daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

"Program ini akan dijadikan sebagai program rintis di Kolej Vokasional Bachok, Kelantan pada tahun 2024 dan akan diperluas ke Kolej Vokasional terpilih di seluruh negara mulai tahun 2026 secara berperingkat," katanya.

Bagi MBPK yang berminat untuk belajar di Sekolah Menengah Pendidikan Khas (SMPK) Vokasional, terdapat empat sekolah yang boleh dipilih iaitu SMPK Vokasional Shah Alam, Selangor, SMPK Vokasional Indahpura, Johor, SMPK Vokasional Kuantan, Pahang dan SMPK Vokasional Merbok, Kedah.

Antara kursus yang disediakan di sekolah ini adalah Desktop Publishing (Penerbitan Meja), Penyelenggaraan Motosikal, Jahitan Pakaian Lelaki, Wanita dan Jahitan Kreatif, Pembuatan Pastri dan Pembuatan Roti serta operasi pengeluaran batik.

Pengambilan ke institut pendidikan khas 2024 sudah dibuka bermula September hingga November secara dalam talian di https://epkhas.moe.gov.my/.

Jika MBPK mahu mengikuti PPKI pula, mereka boleh memohon dengan Jabatan Pendidikan Negeri dan Jabatan Pendidikan Daerah.

Dr Rodiah berkata hasrat KPM sangat tinggi bagi memberi pendidikan secara holistik kepada MBPK supaya satu hari nanti, apabila keluar dari sistem pendidikan ini, mereka dapat meneruskan kelangsungan hidup dengan kemahiran dalam bidang diceburi.

"Bagi MBPK yang memilih aliran akademik pula, mereka boleh meneruskan pengajian dengan mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), peringkat universiti seterusnya di peringkat yang lebih tinggi supaya mereka ini dapat meneruskan ekonomi negara.

"Ini penting sebenarnya bagi meletakkan diri mereka dalam masyarakat sebagai rakyat Malaysia yang boleh turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Negara.

"Oleh itu, KPM berharap ibu bapa sedar akan potensi anak dan mencari bantuan dengan lebih awal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2023 @ 7:03 AM