Raja Noraina Raja Rahim


Subang: Beberapa kawasan di sekitar daerah ini dilanda banjir kilat susulan hujan lebat berterusan sejak 4 petang tadi.

Antara kawasan yang dinaiki air termasuk di Jalan Persiaran Subang, Subang Jaya, USJ dan SS14.

Situasi itu dikongsi penduduk dan pengguna jalan raya yang melalui jalan berkenaan di media sosial.

Berdasarkan perkongsian di media sosial, kawasan parkir dan bahagian bawah pusat beli-belah Subang Parade turut dimasuki air.

Seorang pemilik akaun X menggunakan nama @cinnomorolls menerusi ciapannya memberitahu pihak pengurusan pusat beli-belah itu memasang siren sebagai amaran banjir kepada pengunjung.

Seorang lagi pemilik akaun X @Adrianlee memuat naik rakaman video keadaan banjir di pusat beli-belah itu beserta ciapan banjir #subangjaya #subangparade.

Setakat ini, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor belum menerima panggilan berhubung kejadian banjir kilat di kawasan terbabit.

KEADAAN pusat beli-belah yang dimasuki air akibat banjir kilat. FOTO AZIAH AZMEE
KEADAAN pusat beli-belah yang dimasuki air akibat banjir kilat. FOTO AZIAH AZMEE

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 November 2023 @ 6:56 PM