MUHAMMAD Zaki berkata anggota polis yang terbukti bersalah membawa dan membekalkan air ketum dan tembakau kepada tahanan akan dikenakan tindakan tegas. . FOTO Hidayatidayu Razali.
MUHAMMAD Zaki berkata anggota polis yang terbukti bersalah membawa dan membekalkan air ketum dan tembakau kepada tahanan akan dikenakan tindakan tegas. . FOTO Hidayatidayu Razali.
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Empat anggota polis yang ditahan, disyaki membekalkan air ketum dan tembakau kepada tahanan di lokap mahkamah akan dikenakan tindakan tahan kerja jika terbukti bersalah.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhammad Zaki Harun berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan dalaman terhadap anggota berpangkat Lans Koperal dan Koperal berusia 25 hingga 33 tahun.

"Siasatan juga bagi mengenal pasti sama ada barang yang dijumpai itu untuk kegunaan mereka atau diedarkan kepada tahanan lokap.

"Jika benar (bawa dan bekal), mereka akan diambil tindakan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.

Beliau berkata, tindakan tatatertib pula diambil mengikut Peraturan 3C Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Terdahulu, empat anggota yang bertugas di Mahkamah Kota Bharu itu ditahan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.

Turut dirampas sejumlah empat botol air ketum yang disorok di belakang sofa di bilik rehat lokap dan tembakau.

Dalam perkembangan sama, Muhamad Zaki berkata, sepanjang tahun ini terdapat 25 kes yang membabitkan kesalahan salah laku pegawai dan anggota polis di Kelantan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 November 2023 @ 1:09 PM