(Gambar hiasan) Keadaan di depoh semasa pengagihan makanan untuk tahanan yang dikawal rapi oleh pegawai imigresen. FOTO arkib NSTP
(Gambar hiasan) Keadaan di depoh semasa pengagihan makanan untuk tahanan yang dikawal rapi oleh pegawai imigresen. FOTO arkib NSTP
Siti A'isyah Sukaimi


JABATAN Imigresen menjalankan siasatan terperinci berhubung dakwaan berlaku kekerasan oleh pegawainya terhadap tahanan yang ditempatkan di depoh imigresen.

Jabatan Imigresen menerusi satu kenyataan berkata, sekiranya hasil siasatan mendapati pegawainya terbukti bersalah melanggar peraturan sebagai penjawat awam, jabatan tidak teragak-agak mengambil tindakan mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan & Tatatertib) Pindaan 2002.

“Jabatan ini mengambil tindakan serta merta dengan menjalankan siasatan terhadap dakwaan berkenaan dan untuk makluman, urusan pemberian makanan dan minuman di depoh tahanan dikendalikan oleh kontraktor dilantik oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan syarat dan pemantauan ketat.

“Tahanan diberi makanan dan minuman pada waktu ditetapkan sebanyak empat kali sehari malah mereka juga boleh merujuk kepada pegawai bertugas jika perlukan makanan atau minum yang lebih atau selain dari waktu makan ditetapkan," katanya kenyataan itu hari ini.

Kenyataan itu susulan laporan portal antarabangsa The Guardian semalam, yang mendakwa tahanan warga Rohingya mendapat layanan tidak memuaskan berhubung pemberian makanan dan minuman selain pegawai depoh dikatakan menggunakan kekerasan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mei 2017 @ 4:37 PM