GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Pesara imam dan bilal mukim di negeri ini akan menerima kenaikan kadar ganjaran apabila kerajaan negeri bersetuju menaikkan jumlah berkenaan iaitu antara RM300 dan RM400 berkuat kuasa bulan depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, ganjaran persaraan itu bergantung kepada tempoh perkhidmatan imam dan bilal.

Dengan kenaikan itu, katanya, imam yang berkhidmat dalam tempoh setahun akan menerima elaun ganjaran RM1,500 berbanding RM1,100 sebelum ini.

"Turut menerima ganjaran kenaikan adalah bilal mukim yang menerima RM1,200 berbanding RM900.

"Kali terakhir ganjaran persaraan imam dan bilal dinaikkan adalah pada 2000," katanya dihubungi hari ini.

Mohd Nor yang juga Ahli Dewan negeri (Adun) Bukit Payong berkata, kenaikan kadar elaun persaraan imam dan bilal mukim diluluskan pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang dipengerusikan Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri semalam.

"Kenaikan itu juga membolehkan imam dan bilal bersara mendapat ganjaran lebih tinggi selain penghargaan kerajaan kepada tugas murni golongan itu dalam usaha mengembangkan syiar Islam di masjid mukim," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 5:20 PM