GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Putrajaya:Seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun ditahan polis di kawasan perumahan di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, hari ini kerana disyaki terbabit dengan aktiviti memproses air ketum dan mengedarkannya di sekitar Lembah Klang.

Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata dalam serbuan di sebuah rumah di kawasan itu pada kira-kira jam 5 pagi, polis menemukan 180 botol plastik berisi air ketum .

Susulan itu., katanya, polis menyerbu rumah bersebelahan dan menemui 284 bungkus plastik lutsinar mengandungi daun ketum dianggarkan seberat 68.5 kilogram (kg) dan dua guni seberat 28.5kg serta seunit dapur, tong gas dan periuk aluminium untuk memproses air ketum di dalam rumah berkenaan.

" Berat daun ketum adalah 96.7kg dan 270 liter air ketum yang dianggarkan bernilai RM3,670," katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek berkenaan negatif dadah dan juga tidak mempunyai sabitan rekod lampau.

Beliau berkata suspek dipercayai menjalankan kegiatan tersebut secara sepenuh masa dan kini direman selama empat hari bermula hari ini sehingga 6 November ini bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 November 2023 @ 11:47 PM