ANTARA peralatan memasak ketum yang dirampas daripada suspek. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
ANTARA peralatan memasak ketum yang dirampas daripada suspek. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap


WARDAR penjara ditahan kerana menjalankan kegiatan memproses air ketum di rumahnya di Kuala Klawang di Jelebu, malam tadi.

Serbuan dilakukan sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jelebu, jam 11.30 malam.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, serbuan Op Tapis itu berdasarkan maklumat orang awam.

“Ketika serbuan dilakukan, lelaki berusia 36 tahun itu sedang leka memasak air ketum di tepi rumahnya.

“Pemeriksaan lanjut menemui air ketum yang sedang dimasak di dalam periuk dianggarkan sebanyak 14 liter. Polis turut menemui daun ketum di dalam plastik dianggarkan seberat satu kilogram,” katanya ketika ditemui di IPD Jelebu di Jelebu, hari ini.

Kamarul Rizal berkata, susulan penemuan itu, polis turut merampas tong gas petroleum cecair (LPG) dan dapur yang digunakan suspek untuk memproses air ketum berkenaan.

Katanya, soal siasat ke atas suspek mendapati dia mendapatkan bekalan daun ketum itu daripada seorang lelaki di Kampung Triang, di Jelebu, dengan harga RM50 sekilogram.

“Suspek juga mengaku aktif melakukan kegiatan itu sejak tiga bulan lalu,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 11:37 AM