LIM Guan Eng, hadir ke mahkamah bagi sambung bicara kes membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, sebelum ini. FOTO Asyraf Hamzah
LIM Guan Eng, hadir ke mahkamah bagi sambung bicara kes membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, sebelum ini. FOTO Asyraf Hamzah
BERNAMA

Kuala Lumpur: Mahkamah Sesyen di sini hari ini memberi kebenaran kepada pihak pembelaan untuk memulakan prosiding mencabar kredibiliti seorang saksi utama pendakwaan dalam kes rasuah terowong dasar laut membabitkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Hakim Azura Alwi memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan pihak pembelaan bagi menentukan sama ada wujud percanggahan dalam kenyataan Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB) Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli yang direkod Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi kes membabitkan ahli perniagaan G. Gnanaraja di Mahkamah Shah Alam dengan kenyataannya di Mahkamah Sesyen di sini.

Azura turut mengarahkan salinan rakaman percakapan Zarul Ahmad, saksi pendakwaan ke-23 (SP23), dikemukakan kepada Mahkamah Sesyen di sini terlebih dahulu untuk diteliti dan dibaca sebelum dikemukakan kepada pihak pembelaan.

"Sekiranya wujud percanggahan, barulah salinan pernyataan itu diserahkan kepada pihak pembelaan untuk memulakan prosiding mencabar kredibiliti SP23," katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan 17 Novemver ini untuk sebutan kes bagi pihak pendakwaan dan pembelaan memaklumkan mengenai perkembangan penyerahan pernyataan saksi berkenaan dan menentukan sama ada prosiding mencabar kredibiliti saksi diteruskan atau sebaliknya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata pihaknya bersedia untuk menyerahkan pernyataan saksi berkenaan dalam tempoh dua minggu.

Peguam Gobind Singh Deo mewakili Lim berkata pernyataan itu perlu diserahkan kepada pihaknya terlebih dahulu bagi menunjukkan kepada mahkamah butiran yang didakwa bercanggah.

Prosiding hari ini turut dihadiri TPR Ahmad Akram Gharib dan Mahadi Abdul Jumaat serta peguam Haijan Omar mewakili Lim.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Lim, 60, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta, dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad bagi dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702.

Lim didakwa melakukan perbuatan itu antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul sebagai upah, bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama.

Lim didakwa melakukan perbuatan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta, dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2023 @ 5:31 PM