Guan Eng berbincang bersama Gobind Singh di Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini. Foto Mohd Fadli Hamzah
Guan Eng berbincang bersama Gobind Singh di Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini. Foto Mohd Fadli Hamzah
BERNAMA

Putrajaya: Mahkamah Rayuan hari ini menangguhkan keputusan bagi rayuan Lim Guan Eng supaya kes rasuahnya membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Pulau Pinang dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Nor Bee Ariffin, yang mengetuai panel tiga hakim, membuat keputusan itu selepas mendengar hujah peguam Gobind Singh Deo yang mewakili bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu dan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin.

"Kami memerlukan masa untuk memutuskan perkara ini. Perbicaraan di Mahkamah Sesyen yang ditetapkan pada Isnin depan akan diteruskan. Keputusan kami selepas itu," kata Hakim Nor Bee.

Dua lagi hakim yang bersidang ialah Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Hashim Hamzah. Lim menghadiri prosiding hari ini.

Pada 8 Julai lalu, Lim memfailkan permohonan supaya kesnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi atas alasan antara lain ia membabitkan Seksyen 62 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 berhubung pemfailan penyataan pembelaan yang merupakan persoalan penting untuk mendapat perbicaraan adil yang boleh dirayu sehingga ke Mahkamah Persekutuan.

Bagi kes yang bermula di Mahkamah Sesyen, rayuan akan berakhir di Mahkamah Rayuan.

Pada 12 Julai lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin menolak permohonan Ahli Parlimen Bagan itu untuk memindahkan kesnya dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Lim berdepan empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Lim, 60, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta dengan mengambil tindakan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang yang bernilai RM6,341,383,702.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang antara Januari 2011 dan Ogos 2017.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul sebagai upah membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama.

Lim didakwa melakukan perbuatan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri tersebut.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Setakat ini, lapan saksi pendakwaan sudah memberi keterangan dalam kes berkenaan yang bermula pada 13 Julai lalalu.

Perbicaraan dijadualkan bersambung 1 November ini di hadapan Hakim Azura Alwi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Oktober 2021 @ 5:07 PM