GOBIND Singh (kiri) bersama Guan Eng di Mahkamah Sesyen. FOTO Fathil Asri
GOBIND Singh (kiri) bersama Guan Eng di Mahkamah Sesyen. FOTO Fathil Asri
BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang bekas pengarah syarikat pembinaan memberitahu Mahkamah Sesyen, hari ini, bahawa wang berjumlah RM2 juta yang didakwa diberi kepada Lim Guan Eng, adalah untuk dibayar kepada seorang ahli perniagaan dikatakan bagi mengeratkan hubungan dengan Datuk Seri Najib Razak untuk mendapatkan projek pada masa hadapan.

Bekas pengarah syarikat Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB), Ibrahim Sahari, 59, yang juga saksi pendakwaan perbicaraan kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata demikian ketika disoal peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Lim di hadapan Hakim Azura Alwi.

Lim berdepan empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Ibrahim berkata, perkara itu didedahkan seorang lagi pengarah syarikat CZCSB Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli pada mesyuarat pengarah selepas menyedari dirinya ditipu oleh ahli perniagaan G Gnanaraja yang juga orang tengah yang didakwa rapat dengan Najib.

Gobind: Berhubung kes tipu membabitkan Gnanaraja di Mahkamah Sesyen Shah Alam, kamu telah memberi keterangan bahawa tujuan pembayaran RM2 juta itu adalah untuk mengeratkan hubungan Zarul Ahmad dan PM bagi mendapatkan projek-projek pada masa hadapan. Betul? Ibrahim menjawab "betul".

Gobind: Tiada kaitan dengan Lim, betul? Ibrahim berkata "betul".

Gobind: Siapakah PM yang dimaksudkan itu? Ibrahim menjawab "Datuk Seri Najib".

Pada 2019, Gnanaraja didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tiga pertuduhan rasuah RM19 juta, membabitkan penipuan menutup kes berkaitan projek terowong Pulau Pinang.

Pada prosiding hari ini, Ibrahim juga bersetuju dengan soalan Gobind bahawa Gnanaraja telah menuntut RM19 juta daripada Zarul Ahmad termasuk wang RM2 juta yang menjadi subjek utama pertuduhan yang dihadapi Lim.

Ibrahim juga mengaku bahawa syarikatnya telah menyaman dan menghantar notis tuntutan kepada Gnanaraja untuk mengembalikan wang RM19 juta dan tiada apa-apa saman dikenakan terhadap Lim.

Gobind: Gnanaraja menuntut dan mendesak Zarul Ahmad membayar RM19 juta? Ibrahim menjawab "ya".

Gobind: Justeru, adalah mustahil untuk membayar (wang itu) kepada orang lain, kerana PM (Najib) terlibat? Ibrahim menjawab "setuju".

Gobind: Saya menyatakan kepada anda adalah mustahil RM2 juta itu untuk membayar Lim? Ibrahim menjawab "ya".

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Lim, 60, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta, dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik bagi melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702.

Lim didakwa melakukan perbuatan itu antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul sebagai upah, bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama.

Lim didakwa melakukan perbuatan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta, dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 7 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Julai 2023 @ 4:04 PM