Peniaga nasi ayam Yusri Mazlan menggantung ayam yang siap masak untuk dijual kepada pelanggan ketika tinjauan di gerainya di Taman Ampangan, hari ini. FOTO BERNAMA
Peniaga nasi ayam Yusri Mazlan menggantung ayam yang siap masak untuk dijual kepada pelanggan ketika tinjauan di gerainya di Taman Ampangan, hari ini. FOTO BERNAMA
Oleh Mohd Amin Jalil


Seremban: Langkah kerajaan menarik subsidi ayam bermula esok dijangka tidak menyebabkan harga ayam melonjak naik secara mendadak sebaliknya kekal pada paras biasa.

Pembekal ayam, Zulfadzi Johari, 49, dari Paroi, di sini, berkata, ketika ini rata-rata peniaga menjual ayam di bawah paras kawalan harga yang ditetapkan iaitu RM9.40 untuk sekilogram (kg).

"Saya menjangkakan harga ayam tidak akan naik mendadak selepas kerajaan menarik subsidi kerana ketika ini harga ayam terkawal, malah ramai peniaga menjual ternakan itu di bawah paras harga kawalan ditetapkan kerajaan iaitu RM9.40 kg.

"Buat masa ini bekalan ayam juga berada pada paras yang baik dan pengusaha tidak berhadapan masalah untuk mendapat bekalan.

"Saya sendiri tidak menghadapi masalah untuk mengekalkan harga RM9.40 kg, sebenarnya harga ayam dipasaran ini dipengaruhi dari segi penawaran dan pemintaan," katanya di sini, hari ini.

Pemborong ayam dari Seremban 2, Razali Musa, 56, berkata, dia yakin harga ayam akan kekal stabil walaupun kerajaan menarik subsidi kerana bekalan mencukupi selain tiada faktor boleh menyebabkan berlaku kenaikan.

Menurutnya, peniaga lebih selesa untuk menjual pada harga sekarang kerana kuantiti ayam banyak dan mudah mendapat bekalan.

"Saya yakin kesan penamatan subsidi ini tidak akan dirasai dalam tempoh jangka masa terdekat tapi sekiranya ada kenaikan harga, ia mungkin tidak akan mencapai lebih RM10 untuk sekilogram ayam," katanya.

Razali turut berharap kerajaan dapat mengawal harga makanan ayam terutama jagung bagi memastikan harga ayam dapat terus kekal rendah sekali gus tidak membebankan pengguna.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Penjaja, Peniaga dan Pengusaha Kecil Negeri Sembilan, Mohamad Yusoff berharap penarikan subsidi ayam tidak dijadikan lesen oleh peniaga untuk menaikkan harga sewenang-wenangnya sehingga membebankan pengguna terutama golongan berpendapatan rendah.

Beliau berkata, meskipun pengumuman kerajaan itu melegakan peniaga, namun mereka tidak harus mengambil kesempatan untuk menaikkan harga ayam.

"Pengapungan harga ayam bukanlah tiket untuk peniaga menaikkan harga sesuka hati sebaliknya langkah itu dilihat dapat membantu peniaga menampung pelbagai kos jualan ayam yang dihadapi.

"Kami berharap pihak berkuasa berkaitan perlu terus melakukan pemantauan bagi memastikan tiada peniaga yang mengambil kesempatan mengenakan harga melampau," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2023 @ 3:29 PM