Peniaga ayam, Abdul Aziz Abdullah, 46, berdiri di hadapan gerainya di Pasar Awam Kuah, Langkawi yang kosong selepas tidak menerima bekalan daripada pemborong. FOTO HAMZAH OSMAN
Peniaga ayam, Abdul Aziz Abdullah, 46, berdiri di hadapan gerainya di Pasar Awam Kuah, Langkawi yang kosong selepas tidak menerima bekalan daripada pemborong. FOTO HAMZAH OSMAN
Oleh Hamzah Osman

Langkawi: Harga ayam segar di pulau ini dijual sehingga RM10.20 sekilogram (kg) berbanding harga siling RM9.40 per kg yang ditetapkan kerajaan.

Tinjauan di Pasar Awam Kuah di sini, hari ini mendapati peniaga mendakwa terpaksa menjual pada harga itu bagi menampung caj pengangkutan yang tinggi.

Setiap gerai didapati menampal notis harga ayam segar dijual pada RM9.40 per kg, namun pada masa sama mengenakan caj pengangkutan sebanyak 80 sen ke atas pelanggan.

Peniaga, Haris Said, 60, berkata, caj pengangkutan itu pertama kali dikenakan pemborong sebaik peniaga beroperasi semula selepas sambutan Aidilfitri, baru-baru ini.

"Harga ayam terpaksa dinaikkan susulan pemborong mengenakan caj pengangkutan dan caj sama dikenakan kepada pembeli untuk kami dapat sedikit keuntungan.

"Saya sendiri berasa tertekan kerana menjual ayam pada harga yang tinggi seperti itu, tapi apakan daya," katanya ketika ditemui di gerainya.

Seorang lagi peniaga, Abdul Aziz Abdullah, 46, berkata, dia turut menjual ayam pada harga tinggi iaitu RM10.20 kerana tidak mampu menampung modal jika menjual ayam pada harga siling ditetapkan.

"Selain itu, pembekal kini turut mengehadkan bekalan ke pulau ini, saya hanya terima bekalan 20 peratus berbanding jumlah yang ditempah seperti kebiasaan sebelum ini.

"Pening saya kalau berterusan macam ini. Hari ini saya langsung tak terima bekalan dan pelanggan tetap terdiri peniaga kedai makan turut kecewa," katanya.

Katanya, disebabkan bekalan ayam yang berkurangan, seramai sembilan peniaga tutup kedai awal pada 9.30 pagi berbanding kebiasaan pada 12 tengah hari.

Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah Affendi Rajini Kanth berkata, caj pengangkutan yang dikenakan peniaga terbabit tidak dikawal pihaknya.

"Harga ayam bersih standard di Langkawi ditetapkan pada RM9.40 sekilogram," katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata, bekalan ayam di pulau pelancongan itu dijangka pulih dalam tempoh terdekat memandangkan minggu ini ada pertambahan bekalan.

"Semua bekalan ayam bersih di Langkawi diperolehi dari pembekal di tanah besar seperti Perlis, Kedah dan Pulau Pinang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mei 2022 @ 12:33 PM