FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Izzati Zaidi


Shah Alam: Harga barangan keperluan harian terutama ikan dan ayam terkawal di negeri ini tanpa berlaku peningkatan drastik.

Tinjauan Harian Metro di Pasar Moden Seksyen 6, di sini, mendapati ayam dijual mengikut harga siling iaitu RM9.40 sekilogram (kg), manakala ikan pula dijual pada harga semasa.

Peniaga ayam Suparno Ahmad Basri, 34, berkata dia menjual ayam pada harga RM10.60 satu kilogram termasuk caj perkhidmatan sebanyak RM1.20.

"Sebelum ini, harga sekilogram ayam naik beberapa sen semasa perayaan Deepavali kerana waktu itu tiada harga kawalan, jadi ayam dijual pada harga RM9.90 sekilogram.

"Bagaimanapun, harga ayam kembali stabil dan dijual pada harga semasa yang disarankan oleh kerajaan," katanya.

Peniaga ikan Yusliwati Ghazali, 39, berkata jualan ikan tidak mengalami sebarang perubahan harga mahupun kekurangan bekalan.

"Harga ikan tak naik dan kekal dijual mengikut harga semasa seperti ikan kembung dijual pada harga RM20 sekilogram," katanya.

Sementara itu, peniaga kedai makan Siti Aisyah, 31, dia tidak gusar kerana harga barangan keperluan harian masih terkawal.

"Untuk orang berniaga, susahlah kalau harga bahan mentah sering naik sebab saya pun kena naikkan harga makanan.

"Tapi sekarang harga bahan mentah macam ayam kembali terkawal, jadi saya boleh kekalkan harga makanan yang dijual seperti biasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 November 2022 @ 2:01 PM