GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mohd Roji Kawi


Kuching: Jumlah mangsa banjir di Sarawak menurun hari ini dengan seramai 1,248 daripada 328 keluarga masih ditempatkan di 12 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam daerah.

Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, daerah Kuching mencatat jumlah paling ramai dengan 1,033 mangsa daripada 276 keluarga.

Daerah Bau pula kekal dengan seramai 91 mangsa daripada 21 keluarga yang ditempatkan di dua PPS.

Di Serian, seramai 44 mangsa daripada sembilan keluarga, di Balai Ringin (41 daripada 13 keluarga), manakala di Siburan (39 daripada sembilan keluarga).

Menurutnya, 12 PPS yang aktif ketika ini ialah enam di Kuching iaitu Dewan R-Piang, Kampung Sinar Budi Baru; Dewan Masyarakat Stapok; Dewan Taman Malihah; Sekolah Jenis Kebangsaan (SKK) Chung Hua Batu Kawa; SJK Chung Hua Sungai Tengah dan SJK Chung Hua Sejijak.

Dua PPS di Bau ialah Dewan Kampung Segong dan Balai Raya Kampung Senibung.

Di Serian pula PPS masih aktif di Dewan Kampung Slabi Entukuh, manakala di Balai Ringin, dua PPS iaitu di Balai Raya Kampung Melayu dan Dewan Serbaguna Kampung Ensebang Padang Bilon.

Dua PPS di Siburan pula ditutup semalam menjadikan hanya satu PPS yang masih aktif di daerah itu iaitu di ialah Dewan Masyarakat Kampung Mundai.

Banjir kilat luar biasa melanda kawasan barat Sarawak selepas hujan lebat berterusan bermula 1 pagi, Sabtu lalu.

Penduduk menyifatkan kejadian itu terburuk pernah berlaku dalam tempoh 10 tahun apabila kawasan dinaiki air sehingga paras dua meter.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2024 @ 10:16 AM