Polis membuat pemeriksaan dalam Ops Cegah Jenayah Khas (Tiga Penjuru) di susur Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) Kampung  Pandan, kelmarin. FOTO IHSAN PDRM
Polis membuat pemeriksaan dalam Ops Cegah Jenayah Khas (Tiga Penjuru) di susur Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) Kampung Pandan, kelmarin. FOTO IHSAN PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


Ampang Jaya: Polis mengeluarkan 60 saman atas pelbagai kesalahan trafik dan menyita lapan motosikal serta dua kereta dalam Ops Cegah Jenayah Khas (Tiga Penjuru) kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, operasi bermula jam 9 hingga 11 pagi dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Ampang di susur Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) Kampung Pandan.

Menurutnya, objektif operasi adalah mengambil tindakan ke atas pengguna kenderaan yang melanggar undang-undang jalan raya dan membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah.

"Hasil pemeriksaan terhadap 115 individu mendapati lima lelaki positif dadah iaitu seramai tiga positif methamphetamine dan dua positif ganja.

"Hasil operasi yang dijalankan juga sebanyak 60 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Azam berkata, tiada lesen adalah kesalahan yang banyak dikeluarkan saman iaitu sebanyak 26 saman, tidak memakai tali pinggang keledar (12), nombor pendaftaran (sembilan), Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh (enam), tidak memakai topi keledar (empat) dan satu saman bagi setiap kesalahan cermin sisi, lampu merah dan kesalahan lesen L/P.

"Sebanyak lapan motosikal dan dua kereta disita serta dibawa balik ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ampang Jaya

"Pengguna jalan raya sentiasa diingatkan mematuhi peraturan lalu-lintas demi keselamatan diri sendiri, ahli keluarga dan pengguna jalan raya lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2023 @ 2:58 PM