Memiliki kediaman merupakan salah satu persediaan untuk bersara. - FOTO Lifestylememory/Freepik
Memiliki kediaman merupakan salah satu persediaan untuk bersara. - FOTO Lifestylememory/Freepik
Hanis Aliaa Hidzir

PERSARAAN adalah masa untuk setiap individu menikmati hasil titik peluh sepanjang bekerja di usia muda.

Walau bagaimanapun, tempoh persaraan boleh menjadi sukar sekiranya individu tidak menyimpan wang yang mencukupi untuk menjalani kehidupan selepas bersara.

Secara purata, umur persaraan di Malaysia ialah 60 tahun manakala jangka hayat bagi setiap individu menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia ialah 73 tahun.

Ini bermakna setiap individu yang bakal bersara perlu mempunyai wang simpanan yang mencukupi bagi menampung perbelanjaan hidup selama sekurang-kurangnya 20 tahun.

Bayangkan pada masa depan, setiap individu yang bersara hanya boleh berbelanja kurang daripada RM30 sebulan sekiranya tidak mempunyai simpanan yang mencukupi untuk menampung kehidupan selepas bersara.

Amaun ini pastinya tidak mencukupi untuk berbelanja dengan kenaikan kos sara hidup di masa hadapan yang menjadikan jumlah simpanan persaraan selesa setiap individu juga meningkat dari semasa ke semasa.

Simpanan persaraan, simpanan ingatan

Menyimpan untuk persaraan bukan saja memberi aliran pendapatan yang stabil selepas bersara malah dapat membantu individu mencipta kenangan berkekalan yang akan dihargai seumur hidup.

Bagi Abdul Kadir Othman, 57, dia mula menabung sejak menerima gaji pertama dan tidak pernah culas menyimpan untuk hari persaraannya.

"Saya memanfaatkan skim simpanan seperti Kumpulan Simpanan Pekerja (KWSP) dan Skim Persaraan Swasta (PRS) dengan sebaiknya.

"Skim ini bukan saja menawarkan faedah pelepasan cukai malah membantu saya mencapai matlamat simpanan persaraan."

"Simpanlah secara berkala. Walaupun hanya boleh menyimpan dalam amaun yang kecil setiap bulan, jumlah itu akan bertambah dari semasa ke semasa," ujarnya.

Zulaykha Mohd Yazid, 29, pula berkata selain caruman wajib KWSP, dia turut melaburkan simpanannya melalui unit amanah, saham dan bon.

"Apa yang penting, saya akan melakukan penyelidikan dan memilih pelaburan yang sesuai dengan saya.

"Alternatif ini dapat membantu menggandakan simpanan saya untuk persediaan dan kegunaan di hari tua."

Apabila ditanya mengenai pembelian kediaman menggunakan tabungan persaraan, Zulaykha berpendapat memiliki kediaman adalah salah satu persediaan untuk bersara.

"Dengan harga hartanah yang melonjak tinggi, ia memusnahkan impian kebanyakan rakyat Malaysia untuk memiliki kediaman sendiri.

"Namun, dengan Akaun 2 KWSP, ia bukan saja membantu saya membuat pembayaran pendahuluan kediaman malah memberi peluang kepada saya memiliki rumah sebagai persediaan di hari tua."

Bagi Kadir, dia menggunakan simpanan Akaun 2 KWSP untuk melangsaikan baki pinjaman kediamannya.

"Saya amat bersyukur dan teruja apabila dapat menyelesaikan baki pinjaman kediaman kerana ia bakal meringankan sebahagian komitmen saya setelah bersara kelak."

KWSP membenarkan pencarum membuat pengeluaran melalui Akaun 2 KWSP atas beberapa faktor termasuk pembelian rumah pertama, menyelesaikan baki pinjaman rumah atau membayar ansuran pinjaman perumahan.

Kelonggaran pengeluaran Akaun 2 KWSP ini menunjukkan caruman KWSP tidak hanya terhad kepada simpanan persaraan malah turut menawarkan sokongan sepanjang hidup sebelum mahupun selepas bersara.

Simpan baik-baik, cipta memori bersama

Kempen Simpan Baik-Baik yang diperkenalkan KWSP ini adalah usaha untuk mendidik dan menggalakkan orang ramai untuk menyimpan serta mengajar masyarakat mengenai kepentingan simpanan.

Ia memfokuskan untuk mengubah cara rakyat Malaysia berfikir mengenai persaraan selain menerapkan pandangan yang lebih komprehensif dan holistik tentang kesejahteraan kewangan.

Selain itu, kempen ini juga bertujuan mengubah persepsi masyarakat terhadap KWSP yang tidak hanya berfungsi sebagai dana persaraan malah sebagai rakan kongsi penting dalam membantu mencapai matlamat kewangan mereka.

Jom Simpan Baik-Baik dengan KWSP dan cipta memori bersama keluarga bagi menjamin keselesaan di hari tua kelak.

Untuk maklumat lanjut, layari pautan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2023 @ 11:05 AM