DUA pemuda menunggu untuk mengisi air di bandar Rafah, di selatan Semenanjung Gaza. FOTO AFP
DUA pemuda menunggu untuk mengisi air di bandar Rafah, di selatan Semenanjung Gaza. FOTO AFP
Azhar Shahrulnizam

Kuala Lumpur: Penduduk Gaza perlukan berjuta botol air minuman dan pek makanan sedia dimakan untuk meneruskan kehidupan.

Pengurus Pusat Operasi Kecemasan Bulan Sabit Merah Mesir Lotfy Soliman Gheith pada kenyataan berkata, keperluan ubat-ubatan dan peralatan perubatan amat mendesak tetapi air serta makanan juga amat penting.

"Pek makanan sedia dimakan menjadi keutamaan untuk diagihkan kerana penduduk Gaza kini sukar memasak disebabkan kehilangan tempat tinggal dan air bersih. Di Gaza buat masa ini tiada air bersih, tiada makanan, tiada elektrik, sumber tenaga lain juga terhad dan infrastruktur tidak lagi berfungsi.

"Secara purata, setiap orang memerlukan sekurang-kurangnya dua botol air minuman satu liter setiap hari. Fokus kami ialah 500,00 pelarian yang mencari perlindungan di Rafah. Ini bermakna, kita perlukan satu juta botol minuman sehari.

"Jika dicampur dengan 1.5 juta orang di bahagian lain di Gaza, kita memerlukan bekalan berbilion botol air minuman pada masa kritikal ini kerana kami menjangka perang ini terus berlarutan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi taklimat kepada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Turkiye, Jordan, United Kingdom (UK) dan Muslim Care Malaysia (MCM), di Kaherah, Mesir, semalam.

MCM diwakili Timbalan Presiden Mohd Johari Ismail, Setiausaha Agung Ahmad Safuan Ujar dan Exco Media Tuan Asri Tuan Hussein.

Mengulas lanjut, Lotfy berkata, buat masa ini, Bulan Sabit Merah Mesir yang bernaung di bawah Bulan Sabit Merah Antarabangsa adalah satu-satunya organisasi diberi kebenaran pihak berkuasa Mesir melintasi pintu sempadan Rafah untuk membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza.

"Ratusan lori dan trak berbaris di sepanjang laluan menuju lintasan Rafah sejak dua minggu lalu, menunggu diberi kebenaran berbuat demikian tanpa mengetahui bila giliran masing-masing akan tiba.

"Sekatan untuk menghantar bantuan ke Gaza kali ini amat ketat dan situasi sangat kritikal berbanding konflik pertempuran sebelum ini.

"Situasi kali ini paling teruk. Tidak pernah saya mengalami situasi sebegini sepanjang terbabit dalam operasi bantuan kepada mangsa konflik Palestin-Israel sejak 2008," katanya.

Menurutnya lagi, petugas Bulan Sabit Merah tidak dibenarkan mengiringi lori dan trak bantuan masuk ke dalam Gaza, sebaliknya hanya setakat pusat pengumpulan barangan bantuan di bandar Al Arish, kira-kira 45 kilometer dari lintasan Rafah.

"Selepas melepasi sempadan Rafah, muatan terpaksa dipindahkan ke lori Bulan Sabit Merah yang didaftarkan di Gaza kerana pihak berkuasa tidak membenarkan lori dari Mesir meneruskan perjalanan dan pengagihan barangan di Gaza.

"Saya berasa lega kerana 40 lori dengan muatan ubat-ubatan dan makanan milik Bulan Sabit Merah dibenarkan masuk ke Gaza pada Sabtu dan Ahad lalu.

"Kami sedar, bantuan dibawa 40 lori itu amat sedikit untuk dua juta penduduk Gaza, tetapi itulah saja kebenaran yang diberikan kepada kami pada masa ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2023 @ 11:30 AM