FOTO fail menunjukkan trak tiba di lintasan Kerem Shalom. FOTO AFP
FOTO fail menunjukkan trak tiba di lintasan Kerem Shalom. FOTO AFP
Reuters

Gaza: Konvoi 80 trak bantuan untuk Gaza dihantar dari Mesir ke lintasan Kerem Shalom untuk pemeriksaan selepas sistem pemeriksaan baharu dibuka dalam usaha untuk mempercepatkan penghantaran bantuan.

Bagaimanapun, selepas diperiksa, trak bantuan akan kembali ke Rafah untuk memasuki Gaza.

Seorang pegawai Bulan Sabit Merah berkata, sejak penghantaran bantuan bermula pada 20 Oktober lalu, bekalan yang memasuki Gaza dari Mesir terpaksa berpusing ke selatan dari Rafah untuk diperiksa di persimpangan Al-Awja-Nitzana di sempadan Mesir dengan Israel.

Menurutnya, ia satu proses yang menyebabkan kesesakan dan kelewatan.

Pegawai bantuan berkata, penggunaan lintasan Kerem Shalom yang terletak di sempadan antara Israel, Gaza dan Mesir akan membolehkan pemprosesan lebih banyak trak, termasuk beberapa yang akan datang dari Jordan buat kali pertama sejak permulaan perang di Gaza.

Ketika keadaan kemanusiaan semakin terdesak di Gaza, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendesak Israel untuk membenarkan trak memasuki wilayah dikepung itu terus melalui lintasan Kerem Shalom.

Bagaimanapun, menurut pegawai diplomat, Israel bimbang bekalan boleh memberi manfaat kepada Hamas.

Sementara itu, Ketua Bulan Sabit Merah cawangan Sinai Utara Khaled Zayed berkata, trak yang dihantar ke lintasan Kerem Shalom pada Selasa termasuk ubat-ubatan, bekalan perubatan, makanan, air minuman, dan susu formula bayi.

Sebanyak 100 trak lagi dihantar ke lintasan Al-Awja-Nitzana, kata Zayed.

Sejak gencatan senjata tamat pada 1 Disember, bilangan trak bantuan yang memasuki Gaza setiap hari menurun kepada kira-kira 100.

Sebelum perang, kira-kira 500 trak memasuki wilayah itu setiap hari, yang mana kira-kira 60 peratus daripadanya melalui Kerem Shalom, menurut PBB.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2023 @ 9:46 AM