Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain. FOTO ASWADI ALIAS
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain. FOTO ASWADI ALIAS
Raja Noraina Raja Rahim dan Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak pernah putus asa membanteras sindiket penipuan pelaburan tidak wujud termasuk yang menggunakan konsep patuh syariah bagi menarik minat pelabur.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, ini kerana ramai individu yang sudah menjadi mangsa sindiket penipuan itu membabitkan jumlah kerugian yang besar.

"Ramai sangat orang menjadi mangsa atas pelaburan tidak wujud dan kita melalui pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) di bawah Pengarah, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf menggunakan pelbagai medium untuk mendidik orang ramai.

"Kita mengambil inisiatif menggunakan pelbagai medium termasuk di media sosial dan sistem serta aplikasi untuk melaporkan 'fake' akaun atau 'mule' akaun yang digunakan sindiket.

"Tapi perkara ini (kes penipuan) masih berlaku. Jadi kita di pihak PDRM masih tidak putus asa untuk menentukan kesejahteraan masyarakat daripada sindiket penipuan ini," katanya.

Terbaharu, PDRM mengesan kewujudan skim pelaburan 'XFox Mix Biz' yang dipercayai menggunakan nama syarikat yang tiada kaitan dengan pelaburan itu.

Perkara itu terbongkar selepas JSJK menerima aduan seorang individu mendakwa nama dan logo syarikat digunakan pihak lain bagi mempromosikan skim pelaburan berkenaan.

Selain itu, beberapa serbuan dan tangkapan ahli sindiket penipuan pelaburan dijalankan di seluruh negara dengan terbaharu di sebuah premis di Genting Highlands, Bentong, pada 5 Oktober lalu.

Dalam serbuan itu, seramai 20 individu termasuk lima warga asing ditahan kerana disyaki terbabit kes penipuan pelaburan tidak wujud dalam talian.

Justeru, Razarudin berkata, sehingga kini PDRM masih meneruskan usaha membanteras sindiket penipuan ke arah menjaga kesejahteraan masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2023 @ 11:10 AM