NURUL Izzah. FOTO Zunnur Al Shafiq
NURUL Izzah. FOTO Zunnur Al Shafiq
Syalikha Sazili dan Nor Ain Mohamed Radhi

NURUL Izzah Anwar, menerima kejutan diraikan dalam ‘majlis konvokesyen’ sebagai bekas pelajar Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), selepas terlepas peluang berkenaan, 14 tahun yang lalu.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, tarikh sebenar majlis konvokesyen itu mengingatkannya kepada peristiwa pembebasan bapanya pada 2 September 2004, selepas hampir enam tahun menjalani hukuman penjara.

Beliau yang mengikut Ijazah Sarjana Musa Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik di UNITEN pada ketika itu terpaksa berkorban daripada menghadiri majlis berkenaan kerana keluarganya lebih memerlukan sokongan.

“Ini adalah saat yang manis memandangkan saya menjalani konvokesyen pada hari pembebasan Anwar Ibrahim selaku tahanan politik dipenjara. Maksudnya beliau dibebaskan pada 2 September, hari konvokesyen pada 4 September.

“Ia mengingatkan saya pada saat itu termasuklah tenaga pengajar di UNITEN yang sudah banyak menabur bakti bagi memastikan saya berjaya menamatkan pengajian.

“Mendengar kata-kata (pensyarah) ia berharga buat saya dan saya puji usaha Borak Kopitiam yang berjaya cari gambar saya yang ‘selebet’ (comot)," katanya selepas menghadiri program Borak Kopitiam di TV3.

Nurul Izzah berkata, dia tidak melupakan banyak kenangan manis ketika menuntut di universiti berkenaan.

“Saya rindu zaman universiti kerana ia saat yang sangat sentimental selain saya juga belajar ‘reverse parking’ (parkir mengundur), " katanya.

Naib Presiden PKR itu juga berkata hasratnya memilih universiti tempatan sebagai pilihan utama adalah sebagai usaha melaksanakan dasar yang dibawa bapanya, yang pada ketika itu menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri.

“Banyak universiti tempatan merasakan ada tekanan politik namun UNITEN memberi saya peluang untuk melanjutkan pelajaran.

“Ketika itu Anwar Ibrahim dipenjarakan dalam kes pendakwaan yang bermotifkan politik, jadi sudah tentu saya dihalang untuk ke universiti tempatan.

“Sebab utama saya memilih universiti tempatan kerana beliau (Anwar) mempromosikan ijazah pertama mahasiswa di universiti tempatan, jadi kenapa anak beliau sendiri nak dikecualikan," katanya.

Nurul Izzah turut menerima momento penghargaan daripada Naib Canselor UNITEN, Datuk Prof Dr Ir Kamal Nasharuddin Mustapha.

Sementara itu, Prof Kamal Nasharuddin, turut menyanjung kehebatan Nurul Izzah ketika menuntut di universiti berkenaan.

Beliau berkata Nurul Izzah bukan saja pelajar cemerlang malah bakat kepimpinannya cukup terserlah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Ogos 2018 @ 11:56 AM