Penunjuk perasaan pro-Palestin berkumpul di luar hotel dan casino The Venetian di Las Vegas, Nevada. FOTO AFP
Penunjuk perasaan pro-Palestin berkumpul di luar hotel dan casino The Venetian di Las Vegas, Nevada. FOTO AFP
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Segala usaha penyelesaian yang dilakukan dalam isu di Palestin perlulah memberikan hak penuh dan manfaat kepada rakyat negara itu untuk bebas daripada cengkaman Israel.

Jalan penyelesaian dua negara sebelum ini juga tidak diterima baik rakyat Palestin yang mahukan segala pencerobohan oleh pendatang haram Yahudi haram dihentikan serta merta.

Timbalan Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Muhamad Hisham Marzuki berkata, pihaknya berpendapat, status Baitulmaqdis sebagai tanah wakaf umat Islam tidak wajar dikompromi dengan penaklukan haram rejim zionis termasuk tindakan terbaru menukar status kepada ibu negara haram Israel.

"Solidariti umat Islam di Malaysia dengan rakyat Palestin bukan hanya sekadar kenyataan yang dikeluarkan saja, malah ramai yang memainkan peranan sama ada kecil atau besar dalam kemampuan masing-masing termasuk memberi bantuan kewangan, memberi penerangan di media sosial dan melawan tipu daya zionis di media.

"Justeru, PPMM terus menyokong penuh usaha kerajaan Malaysia dalam memastikan hak dan perjuangan rakyat Palestin sejak berdekad-dekad mempertahankan kota suci ketiga umat Islam itu secara berterusan tanpa merujuk kepada penyelesaian dua negara lagi termasuklah menghantar tentera pengaman dan bantuan untuk Palestin," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhamad Hisham berkata, penyelesaian dua negara berdasarkan garis sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis timur sebagai ibu kota Palestin gagal menyelesaikan kemelut ini kerana Israel tidak pernah mengiktirafnya.

Menurutnya, Resolusi 242 Perjanjian Bangsa-Bangsa Bersatu pada 1967 serta beberapa siri perjanjian antarabangsa susulan dicabuli Israel melalui pelbagai usaha diplomatik di peringkat antarabangsa.

"Pimpinan dan ahli PPMM berdoa agar kekejaman di Palestin ini berakhir segera dan Islam kembali memerintah Palestin dengan adil dan ihsan.

"Apabila Islam memerintah hak beragama orang Islam, Yahudi dan Kristian di Baitulmaqdis akan sentiasa dipelihara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Mei 2021 @ 12:20 PM