PENUNTUT Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mengikuti simulasi kelas secara atas talian. FOTO ihsan UNISZA
PENUNTUT Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mengikuti simulasi kelas secara atas talian. FOTO ihsan UNISZA
Ahmad Rabiul Zulkifli


UNIVERSITI Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menyediakan elaun pembelian data internet sebanyak RM100 dan bantuan pinjaman pembelian komputer riba bagi penuntut yang memerlukan.

Dua inisiatif itu untuk membantu penuntutnya menghadiri kelas secara atas talian yang akan bermula minggu hadapan susulan krisis pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, kedua-dua inisiatif itu adalah usaha dan kecaknaan UniSZA untuk membantu memudahkan penuntut mengikuti kelas secara atas talian.

UNIVERSITI Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bagi elaun data internet dan pinjaman pembelian komputer riba. FOTO ihsan UNISZA
UNIVERSITI Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bagi elaun data internet dan pinjaman pembelian komputer riba. FOTO ihsan UNISZA

"Elaun sebanyak RM100 diberikan kepada penuntut untuk tempoh dua bulan bagi pembelian data internet. Ia sudah diserahkan kepada 9,878 penuntut melalui akaun bank masing-masing.

"Manakala, pinjaman untuk pembelian komputer riba sebanyak RM1,500 seorang sudah diluluskan untuk 600 penuntut yang terdiri daripada golongan B40," katanya melalui satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, semua pensyarah sudah bersedia untuk mengajar dan memulakan sesi pembelajaran melalui atas talian itu.

"Pensyarah sudah diberi kursus sebanyak lima kali seminggu berkaitan pengajaran dan pentaksiran secara atas talian sebelum ini.

"Simulasi kelas secara online dijalankan pada 17 hingga 21 Mei lalu untuk menguji capaian internet penuntut di kediaman masing-masing sebelum kelas online bermula," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2020 @ 3:44 PM