Mohamad Fahd Rahmat

Kluang: Dadah jenis ekstasi dan ketamin dibungkus semula dalam peket minuman perisa buah-buahan, sebelum dijual di pusat hiburan sekitar daerah ini dan Batu Pahat.

Kegiatan itu didalangi seorang tukang masak warga tempatan, yang terbongkar susulan serbuan polis pada Ahad lalu dan merampas dadah bernilai kira-kira RM500,000.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, lelaki berusia 34 tahun itu membungkus semula dadah dalam peket 19 gram setiap satu dan ia dijual pada harga RM150 dan RM300.

"Pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kluang menyerbu rumah sewa suspek di Taman Sam Hoe di sini pada 11 pagi, Ahad lalu dan menemui serbuk dadah disimpan dalam balang plastik dan kotak.

"Suspek direman enam hari sehingga 14 Oktober bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya pada sidang media hari ini.

BAHRIN (dua, kanan) dan pegawainya menunjukkan dadah yang dirampas dalam serbuan di rumah sewa tukang masak di Kluang, Johor. FOTO Mohamad Fahd Rahmat.
BAHRIN (dua, kanan) dan pegawainya menunjukkan dadah yang dirampas dalam serbuan di rumah sewa tukang masak di Kluang, Johor. FOTO Mohamad Fahd Rahmat.

Bahrin berkata, pihaknya sedang melakukan siasatan lanjut termasuk mengesan sumber dadah diperoleh dan pengoperasiannya.

Katanya, ujian saringan ke atas suspek mendapati dia positif dadah, namun tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

"Dipercayai dadah itu dicampur serbuk berperisa lemon, markisa, tembikai susu dan buah empat musim, bahkan diedar hanya kepada kenalan rapat suspek," katanya.

Selain enam kilogram (kg) ekstasi dan lapan gram ketamin yang dirampas, polis turut menyita Honda Accord dianggar bernilai RM35,000 dan wang tunai RM2,000.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2023 @ 11:33 AM