Raja Noraina Raja Rahim dan Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Semua Ketua Polis Daerah (KPD) diarah untuk menjadi pegawai penjaga dan melawat lokap di kawasan pentadbiran masing-masing sekurang-kurangnya empat kali sehari.

Ketua Polis Balai (KPB) pula menjadi penolong pegawai penjaga lokap dan perlu melawat lokap lebih daripada KPD.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, pegawai penyiasat juga perlu sentiasa melawat lokap yang terdapat orang kena tahan (OKT) bagi kes dikendalikannya.

Menurutnya, arahan itu dibuat untuk memastikan OKT terjaga, tidak berlaku tindakan bunuh diri atau pergaduhan sesama OKT di dalam lokap.

Katanya, jika KPD, KPB dan pegawai penyiasat dapat melakukan lawatan seperti arahan itu dan boleh mencapai 24 kali sehari, tentunya tiada kejadian buruk boleh berlaku kerana ada pemeriksaan setiap satu jam.

"Ia boleh mengelak daripada berlakunya kejadian tahanan mati dalam lokap," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat pengurusan tertinggi Kumpulan Media Prima Berhad (Media Prima) di Bilik Mesyuarat Ketua Polis Negara, Menara 1 Bukit Aman di sini, baru-baru ini.

Kunjungan hormat itu diketuai Pengerusi Kumpulan Media Prima Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid.

Hadir sama Ketua Pegawai Operasi Media Prima Omnia Datuk Mohd Efendi Omar; Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman serta Timbalan Pengarang Kumpulan Jabatan Berita dan Ehwal Semasa Rangkaian Televisyen Media Prima Azhari Muhidin.

Menurut Razarudin, KPD juga boleh membuat pemeriksaan terhadap makanan yang diberikan ketika membuat lawatan terbabit.

"KPD perlu memastikan makanan yang diberikan kepada OKT sama seperti yang ditetapkan.

"Dengan tanggungjawab yang dipikul bersama-sama oleh semua pihak tentu tidak timbul masalah membabitkan tahanan di lokap itu.

"Jika sesuatu berlaku di dalam lokap, KPD selaku pegawai penjaga lokap dan KPB perlu bertanggungjawab serta akan dipersalahkan," katanya.

Berita berkaitan:

PDRM struktur semula keanggotaan pasukan - KPN

Gabungan Razarudin, Ayob kembalikan imej PDRM

Kadar Jenayah Indeks turun 40 peratus

TAN Sri Razarudin Husain. FOTO Aizuddin Saad.
TAN Sri Razarudin Husain. FOTO Aizuddin Saad.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Oktober 2023 @ 6:03 PM