Raja Noraina Raja Rahim dan Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Kadar Jenayah Indeks menurun 40 peratus dalam tempoh Januari sehingga Ogos tahun ini, sekali gus menunjukkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya mengekalkan keadaan keselamatan negara pada tahap yang baik.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, usaha mencegah dan membanteras jenayah membabitkan semua pasukan PDRM terus dipergiatkan melalui pelbagai operasi dan tangkapan yang dilakukan.

Beliau berkata, Op Kontraban merekodkan seramai 46 orang dengan nilai rampasan kira-kira RM51 juta manakala Op Dadu dan Op Noda pula merekodkan 2,863 tangkapan menerusi 1,831 serbuan yang dilakukan sepanjang tempoh itu.

Katanya, usaha pembanterasan jenayah dadah turut melakar kejayaan apabila sebanyak sembilan sindiket ditumpaskan dan 30 orang ditahan dengan nilai rampasan lebih RM114 juta.

Selain itu, serbuan dan tangkapan jenayah komersil merekodkan 193 tangkapan menerusi Op Nuri (tipu pelaburan atas talian); Op Khas (tipu tawaran kerja dan penjualan haram diesel) serta Call Center Penipuan Pelaburan.

Sepanjang tempoh sama, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) menahan 1,042 orang atas pelbagai kesalahan trafik selain mengeluarkan 605,503 saman dalam 1,995 operasi yang dijalankan.

"Pada saya, penurunan kadar jenayah ini tidak menjadi apa-apa signifikan, sebaliknya yang saya perlu tekankan adalah fear factor (faktor ketakutan) masyarakat di lapangan.

"Itu lebih penting berbanding jumlah penurunan. Sebagai contoh peningkatan jenayah satu peratus tapi fear factor ada 30 peratus, kita ambil ketakutan itu lagi mustahak.

"Kalau kita kata kadar jenayah turun 78 peratus, tapi masyarakat masih mengatakan bahawa polis tak buat kerja dan mereka masih berasa takut, sebenarnya kita berjaya atau tidak?" soalnya.

Justeru, katanya, selain menangkap dan mendakwa penjenayah di mahkamah, PDRM turut meningkatkan program pencegahan jenayah bersama masyarakat bertepatan slogan 'polis dan masyarakat berpisah tiada.'

Tambahnya, ini termasuk program pencegahan jenayah menerusi media massa dan media sosial seperti Facebook, Instagram serta TikTok.

Untuk rekod sepanjang Januari hingga 30 September lalu, sebanyak 1,068 program pameran diadakan, ceramah (2,821) dan siaran media termasuk media sosial (1,537).

Kesemua program berkenaan berjaya menarik kehadiran dan tontotan masyarakat mencecah 8.6 juta.

Berita berkaitan:

PDRM struktur semula keanggotaan pasukan - KPN

Gabungan Razarudin, Ayob kembalikan imej PDRM

Kerap lawat lokap, elak kejadian buruk

RAZARUDIN ketika ditemui di Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman, Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad
RAZARUDIN ketika ditemui di Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman, Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Oktober 2023 @ 6:07 PM