JISMI. FOTO ihsan MAHAR
JISMI. FOTO ihsan MAHAR
Wartawan HM

Kuala Lumpur: Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) menyeru semua pemimpin dan masyarakat dunia yang berfikiran waras agar mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan terang-terangan rakyat Palestin yang dilakukan Israel.

Sudah 75 tahun penghapusan etnik dilakukan oleh rejim itu dan 15 tahun sekatan penahanan tanpa perbicaraan, pembunuhan, rampasan tanah tanah Palestin, mencemarkan Al Aqsa dan serbuan ke rumah penduduk Palestin.

Presiden MAHAR, Jismi Johari dalam kenyataan berkata, masyarakat dunia perlu serius dalam menuntut rejim Israel bertanggungjawab atas tindakan itu dan menghentikan serta-merta sebarang bentuk kekejaman dan kebiadapan ke atas rakyat Palestin.

"MAHAR merakamkan rasa simpati, takziah dan mendoakan keluarga rakyat Palestin terbunuh dan cedera kerana pencerobohan Israel.

"Malaysia terus bersolidariti dengan rakyat Palestin dan menegaskan sokongan tidak berbelah bahagi kepada mereka dan perjuangan mereka untuk mencapai kebebasan daripada pendudukan haram Israel sekali gus merealisasikan aspirasi mereka untuk menjadi negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara," katanya.

Beliau berkata, di Malaysia, banyak badan bkan kerajaan (NGO) kemanusiaan berdedikasi membantu Asia Barat, khususnya Palestin.

"MAHAR akan menerajui penganjuran Minggu Solidariti Bersama Palestin yang bertemakan 'Disseminating the History' (Menyebarkan Sejarah) dari 25 November hingga 2 Disember ini di Dataran Wawasan Putrajaya, menyatukan pelbagai NGO dalam komitmen bersama mereka.

"Hari Solidariti Palestin berfungsi sebagai pemangkin meningkatkan kesedaran global mengenai nasib Palestin," katanya.

Minggu Solidariti Bersama Palestin merangkumi pelbagai aktiviti termasuk forum, bazar makanan, paparan statik Palestin dan pertunjukan kebudayaan.

"Program ini diketuai oleh MAHAR dan disertai oleh pertubuhan kemanusiaan dan NGO kemanusiaan Malaysia dan Palestin.

"Bersama-sama, kita berusaha memberi penerangan mengenai sejarah, menentang ketidakadilan, dan menyokong mereka untuk masa depan yang lebih baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Oktober 2023 @ 5:36 PM