KASANAH (duduk tengah) bergambar bersama ahli keluarga pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Perak. FOTO L Manimaran
KASANAH (duduk tengah) bergambar bersama ahli keluarga pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Perak. FOTO L Manimaran
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Kesusahan hidup mengambil upah menoreh getah, menjual kuih dan menjahit tidak sesekali membuatkan Kasanah Mukkeri, 79, mengabaikan pelajaran lapan anaknya hinggakan kini mereka berjaya dalam bidang tersendiri.

Anak-anak Kasanah itu kini menjawat jawatan sebagai timbalan ketua pengarah agensi kerajaan, pegawai, pengurus, jurutera dan guru yang justeru membuatkan wanita ini merangkul Anugerah Keluarga Ammar Bin Yasir, seterusnya diumumkan sebagai Tokoh Keluarga Mithali sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1445H/2023M Peringkat Perak di sini, hari ini.

Kasanah berkata, selain pelajaran dia dan arwah suaminya, Yusoff Mawi yang meninggal dunia pada 2002 sentiasa menekankan aspek pendidikan keagamaan kepada lapan anak mereka selain menerapkan nilai kepentingan supaya sentiasa bersedekah.

"Saya suka bersedekah yang lazimnya berkaitan pembangunan masjid atau sekolah tahfiz seperti untuk memasang pagar lampu, dan sebagainya walaupun kami tidaklah begitu berduit.

"Arwah suami turut membanting tulang dengan melakukan pelbagai kerja termasuk menoreh getah, mengambil upah membersihkan kebun dan tanam semula getah demi kelangsungan kehidupan keluarga," katanya ketika ditemui pemberita.

Kejayaan merangkul anugerah itu sekali gus melayakkan nenek kepada 30 cucu dan lapan cicit itu membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000, plak dan sijil penghargaan.

Anak sulung Kasanah, Haffita Yusoff, 60, berkata arwah bapanya pernah berhutang sehingga puluhan ribu ringgit demi menghantar seorang adiknya menyambung pengajian di universiti.

"Namun saya tidak tahu bagaimana (ia boleh dilangsaikan) dan pada masa sama, kami sekeluarga sentiasa ada wang untuk makan," katanya.

Sementara itu, penerima Penerima gelaran Tokoh Pendakwah melalui Anugerah Ibnu Abbas, Amar Arif Ahmad Po'aad, 32, berkata dia tidak menyangka akan menerima pengiktirafan berkenaan walaupun aktiviti dakwah di jalanan atau 'street dakwah' yang dijalankannya disifatkan masih baharu kerana baru menjangkau usia tiga tahun.

Lepasan Universiti al-Azhar Mesir dalam bidang Syariah dan Undang-undang itu berkata, minatnya dalam hal ehwal keagamaan sejak bangku sekolah telah mendorongnya untuk menjadi pendakwah.

Selain Tokoh Keluarga Mithali dan Tokoh Pendakwah, program itu turut menyaksikan Sultan Nazrin menyampaikan pengiktirafan Anugerah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO); Anugerah Pengamal Media; dan Anugerah Pegawai Masjid (kategori Imam, Bilal, dan Siak).

Anugerah NGO dirangkul oleh Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Marhaen Taiping (KMM); sementara Anugerah Tokoh Pengamal Media (Anugerah Zaid bin Thabit) disampaikan Sultan Nazrin kepada Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) merangkap Pengarang Kumpulan Berita Harian (BH) Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2023 @ 4:59 PM