- Foto hiasan
- Foto hiasan
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Pengarah syarikat gagal dalam permohonan supaya dilepas tanpa dibebaskan terhadap empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM15 juta bagi mendapatkan projek milik agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob dalam keputusannya hari ini berkata, permohonan Datuk Seri Sim Choo Thiam, 53, selaku pemohon yang memfailkan notis permohonan itu di Mahkamah Sesyen, di sini, pada 4 Julai lalu ditolak atas alasan pertuduhan itu tidak memprejudiskan tertuduh (Sim).

"Selepas mahkamah meneliti segala kertas kausa, permohonan pemohon (Sim) ditolak, semua (pertuduhan) itu sebenarnya boleh diperbaiki dan tidak memprejudiskan tertuduh," katanya.

Dalam prosiding sama, Rozina turut menolak permohonan Sim supaya pendakwaan menyerahkan pernyataan bertulis fakta yang memihak kepada pembelaan, di bawah Seksyen 51A (1)(c) Kanun Prosedur Jenayah dalam masa tujuh hari dari tarikh perintah mahkamah.

Menurut Sim, fakta yang memihak kepada pembelaan iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hanya merekodkan kenyataan bekas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin pada petang 10 Mei lalu, selepas beliau didakwa pada hari yang sama.

Rozina menolak kedua-dua permohonan Sim selepas mendapati pertuduhan berkenaan boleh diperbaiki dan tidak memprejudiskan tertuduh.

Dalam prosiding itu, Sim selaku pemohon diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, manakala Timbalan Pendakwa Raya Nor Asma Ahmad dan bertindak bagi pihak pendakwaan.

Sim didakwa meminta suapan wang berjumlah RM15 juta daripada Pengarah Urusan Asia Coding Centre Sdn Bhd, Hep Kim Hong melalui Syed Abu Zafran Syed Ahmad pada Jun 2021.

Ia sebagai dorongan untuk seorang pegawai badan awam iaitu Hamzah yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan apa-apa projek milik agensi di bawah KDN pada Jun 2021.

Bagi tiga lagi pertuduhan, beliau didakwa menerima rasuah masing-masing berjumlah RM3.5 juta, RM5.5 juta dan RM6 juta daripada Kim Hong sebagai dorongan untuk Hamzah membantu mendapatkan projek milik agensi di bawah KDN antara 19 hingga 30 Julai 2021.

Semua empat pertuduhan berkenaan didakwa dilakukan di Solaris Dutamas, Jalan Dutamas 1, di sini.

Sim didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, beliau boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pada 28 Jun lalu, Rozina menetapkan perbicaraan kes itu selama 10 hari bermula 6 Mei hingga 10 Mei dan 13 Mei hingga 17 Mei 2024.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2023 @ 4:50 PM