Yun Mikail


Kota Kinabalu: Sebanyak 12 tan sampah berjaya dikumpulkan sempena Program Plastic For Food membabitkan dua kampung di Pulau Gaya.

Penduduk Kampung Torong Logong dan Lobong itu kemudiannya menerima 3.6 tan ayam untuk diberikan kepada 450 keluarga.

Penduduk Kampung Torong Logong, Salina Banda, 33, berkata, dia bersama empat ahli keluarga mengambil kira-kira satu jam untuk mengumpulkan lapan plastik besar sampah di sekitar rumah.

"Sampah paling banyak yang kami ditemui ialah botol air mineral dan bakul plastik.

"Tidak dinafikan sebilangan sampah-sarap ini dibuang oleh penduduk setempat namun ada juga sampah yang hanyut daripada tanah besar ketika air pasang dan terdampar di kampung sekitar Pulau Gaya apabila air laut surut.

"Selaku penduduk di pulau ini, kita menyambut baik program ini kerana boleh memberi lebih kesedaran kepada penduduk mengenai kepentingan menjaga kebersihan dan tidak membuang sampah sesuka hati," katanya ketika ditemui media pada program yang berlangsung di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Gaya, di sini, hari ini.

Dianjurkan Shangri-La Tanjung Aru Resort (STAR), program itu dihadiri Pengerusi Tanjong Aru Hotel Sdn Bhd, Datuk Edward Dagul; Pengurus Besar STAR, Conor Hadlington dan Pengarah Urusan Jetsin Sdn Bhd, Datuk Koh Chung Jade.

Dalam pada itu, Ketua Kampung Lobong Pulau Gaya, Rajit Serong berharap program sama dapat diteruskan daripada semasa ke semasa.

"Saya yakin sikap menjaga kebersihan itu dapat dipupuk secara perlahan-lahan dan akhirnya menjadi kebiasaan dalam kalangan penduduk di pulau ini," katanya.

Sementara itu, Edward berkata, penduduk boleh menukar setiap satu plastik sampah yang dikumpulkan dengan satu kilogram ayam.

"Saya dapat melihat sambutan sangat memberangsangkan diberikan penduduk apabila kita berjaya mengumpulkan kira-kira 12 tan sampah.

"Semua sampah ini kita tukarkan dengan 3.6 tan ayam untuk diberikan kepada penduduk di dua kampung.

"Semua sampah ini akan diserahkan kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk dibawa ke pusat pelupusan sampah Kayu Madang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 September 2023 @ 3:02 PM
PENDUDUK menunjukkan peket ayam yang diterima pada program Plastic For Food di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Gaya hari ini. FOTO Mohd Adam Arinin
PENDUDUK menunjukkan peket ayam yang diterima pada program Plastic For Food di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Gaya hari ini. FOTO Mohd Adam Arinin