PIHAK DBKL merobohkan struktur besi yang dipasang tanpa kelulusan dan membuat halangan laluan koridor awam di Seksyen 2, Wangsa Maju, Kuala Lumpur, baru-baru ini. FOTO Ihsan DBKL
PIHAK DBKL merobohkan struktur besi yang dipasang tanpa kelulusan dan membuat halangan laluan koridor awam di Seksyen 2, Wangsa Maju, Kuala Lumpur, baru-baru ini. FOTO Ihsan DBKL
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Sudah diberi amaran malah diminta membuka sendiri struktur binaan besi yang dibuat tanpa kelulusan, pemilik sebuah kediaman di Seksyen 2, Wangsa Maju di sini, tetap berdegil sehingga menyusahkan penduduk lain.

Keadaan itu menyebabkan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bertindak membuka struktur berkenaan menerusi operasi dijalankan, baru-baru ini.

DBKL dalam kenyataan, hari ini, memaklumkan pihaknya menjalankan Operasi Bersepadu Memotong dan Merobohkan Struktur Besi di lokasi berkenaan menerusi Jabatan Penguatkuasaan.

"Ia dilakukan dengan kerjasama Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta, Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Elektrikal (JKME), Jabatan Kawalan Bangunan dan Pejabat Cawangan Wangsa Maju serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Operasi khas itu dijalankan selepas pemilik kediaman gagal mematuhi notis penguatkuasaan dikeluarkan pada 10 Januari lalu untuk membuka sendiri struktur besi yang dibina," katanya.

Menurutnya, DBKL sudah merobohkan struktur besi yang dipasang tanpa kelulusan dan membuat halangan laluan koridor awam di kediaman itu.

"Ia adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 46, Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974.

"Sisa struktur besi pula dipindahkan ke Stor JKME, Jalan Cheras, di sini, untuk tindakan lanjut dan dokumentasi proses pelupusan.

"Operasi berjalan lancar dengan kerjasama erat dari semua pihak yang terbabit. DBKL akan meneruskan tindakan sama di lokasi lain selepas ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2024 @ 7:46 PM