GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Ipoh: Seramai 100 pemilik Rumah Pangsa Taman Pertama di sini, sedang dijejaki bagi menyelesaikan pelbagai masalah di kawasan perumahan itu yang dijadikan sarang penagih dadah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelapang Cheah Pou Hian berkata, antara masalah dihadapi penduduk di kawasan kediaman itu adalah unit rumah dijadikan sarang penagihan dadah dan kegiatan vandalisme.

"Hasil pemeriksaan terhadap 280 unit kediaman tiga tingkat di dua blok rumah pangsa berkenaan mendapati 152 daripadanya tiada penghuni, selain menjadi sarang penagihan dadah.

"Kami juga terima banyak aduan daripada penghuni di sini berkaitan masalah sampah yang berlonggok di rumah tak berpenghuni hingga menimbulkan bau tidak menyenangkan," katanya tadi.

Selain itu, menurutnya kejadian kebakaran di unit rumah yang ditinggalkan juga meresahkan penghuni lain.

Justeru, Cheah berkata, atas faktor keselamatan dan keselesaan penghuni sedia ada, operasi mengesan 100 pemilik rumah pangsa itu bagi menyelesaikan masalah berkaitan sedang dilaksanakan.

"Saya anggarkan mereka ini dapat dikesan sebelum Januari tahun depan supaya satu mesyuarat jawatankuasa bertindak dapat membuat keputusan bagi menangani masalah berbangkit.

"Data juga sedang dikumpul dengan kerjasama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan agensi berkaitan untuk mengesan pemilik rumah yang kosong termasuk yang menyewakan kepada pihak lain atau sudah menjual unit mereka," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah meluluskan peruntukan RM192,000 kepada MBI bagi membina tembok di sekeliling rumah pangsa itu.

Menurutnya jawatankuasa penduduk juga disusun semula bagi mempertingkatkan keselamatan secara beransur-ansur, selain pihaknya turut memperuntukkan RM22,000 bagi pelaksanaan kempen pembersihan berskala besar bersama badan bukan kerajaan (NGO) di rumah pangsa berkenaan.

"Pihak KPKT juga turut meluluskan RM145,000 bagi tujuan turapan jalan dalam kawasan perumahan selepas kerja-kerja pembersihan selesai dilakukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 September 2023 @ 4:42 PM